JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan ilustrasi terkini Lesen Memandu Malaysia (LMM) terbaharu yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, rekaan ilustrasi LMM versi terkini itu berupaya mencegah unsur-unsur pengubahsuaian dan pemalsuan kad serta mempunyai daya tahan untuk tempoh maksimum 10 tahun.
Menurutnya, kad LMM terkini itu telah diedarkan secara berperingkat-peringkat ke seluruh negara bermula hari ini.
“LMM versi terkini mempunyai gambar latar belakang yang memaparkan Bangunan Sultan Abdul Samad dan motif abstrak gelombang pada bahagian hadapan serta Istana Negara dan motif abstrak flora pada bahagian belakang.
“Cetakan kad LMM untuk kategori yang dibenarkan pada masa ini telah pun berlangsung secara berperingkat di cawangan-cawangan JPJ tertentu bagi memberi masa bagi tempoh peralihan daripada sistem kad versi sebelumnya ke versi terkini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Memandu Intensif Sdn. Bhd., di Adda Height, di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata, cetakan fizikal kad LMM versi terkini masih hanya dibenarkan untuk pemohon kategori warganegara yang akan ke luar negara dan bukan warganegara sahaja kerana ada sesetengah negara tidak mengiktiraf lesen digital yang digunakan pakai di negara ini, MyJPJ.
Bagi pemohon biasa yang membuat pembaharuan lesen, mereka hanya memperoleh lesen digital sahaja.
Aedy Fadly berkata, JPJ turut menambah baik tiga elemen perlesenan dan pengoperasian secara berperingkat di 248 institusi memandu (IM) seluruh negara bagi meningkatkan tahap integriti, kualiti serta menangani isu berbangkit sebelum ini.
“Tiga elemen itu membabitkan tambah baik garis panduan permohonan penubuhan IM baharu, menggalakkan pembangunan sistem e-Testing dan Pusat Ujian Berkomputer KPP01 bagi semua IM serta tambah baik operasi khas penguatkuasaan di IM yang bertujuan memastikan penyediaan perkhidmatan itu mencukupi di kawasan yang tinggi kapasiti penduduk dan tempoh menunggu calon melengkapkan proses pembelajaran,” katanya. – UTUSAN