PETALING JAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Kenya selama dua hari bermula hari ini.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, lawatan itu mencerminkan komitmen negara untuk memperluas jaringan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara Afrika, khususnya Kenya yang dianggap rakan strategik utama di rantau itu.
Katanya, ia juga sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor perladangan dan komoditi.
“Sepanjang lawatan kerja ini, Johari dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya bagi membincangkan perluasan kerjasama perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam sektor minyak sawit serta komoditi utama lain,” katanya menerusi kenyataan.
Johari dijadualkan menghadiri sesi dialog dan meja bulat bersama pemain industri bagi mengenal pasti bidang strategik kerjasama, mengukuhkan rangkaian perdagangan serta mempromosikan minyak sawit Malaysia di peringkat serantau dan global.
Beberapa fasiliti industri utama di Kenya akan turut dilawati bagi memahami landskap pengeluaran negara berkenaan dan meneroka peluang kerjasama yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
“Kenya merupakan negara anggota Komuniti Afrika Timur (EAC) yang terdiri daripada lapan negara dengan jumlah penduduk melebihi 330 juta orang, sekali gus menjadikan negara itu pintu masuk penting ke pasaran serantau yang luas.
“Melalui Kesatuan Kastam EAC yang ditubuhkan pada 2005, produk yang memasuki mana-mana negara anggota boleh diedarkan secara bebas ke seluruh rantau tanpa cukai tambahan.
“Faktor tersebut memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport minyak sawit secara lebih kos efektif ke rantau Sub-Sahara Afrika,” katanya.
Pada tahun 2024, Kenya merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di rantau Sub-Sahara yang menyumbang 42 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau berkenaan dengan Malaysia mengekalkan pegangan pasaran utama sebanyak 85 peratus di Kenya. – UTUSAN