PUTRAJAYA: Polis setakat ini tidak dapat sahkan punca kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh daripada tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam di sini semalam.
Sebelum ini, beberapa kumpulan Facebook (FB) komuniti setempat mengaitkan bahawa mangsa terlebih dahulu memanjat sofa di ruang terbuka di aras lapan kuarters terbabit sebelum terjatuh.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan dakwaan itu dan kes berkenaan masih dalam siasatan.
Beliau berkata, pihaknya mendapati, sofa berkenaan berada di tingkat lapan manakala, mangsa pula dilaporkan jatuh dari tingkat tujuh kuarters berkenaan.
“Dalam siasatan (kes masih dalam siasatan). Mungkin tingkat 7 (mangsa terjatuh dari tingkat tujuh) manakala, sofa pula berada di tingkat lapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beberapa kumpulan FB komuniti setempat berkongsi gambar sofa dan mengaitkan bahawa mangsa terlebih dahulu memanjat sofa berkenaan sebelum terjatuh.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas terjatuh daripada aras tujuh sebuah kuarters penjawat awam di sini, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Fasa 3A, kuarters penjawat awam, Presint 9, di sini.
Difahamkan, mangsa terlebih dahulu dibawa bapanya ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya (HPJ) dalam keadaan berlumuran darah sebelum disahkan meninggal dunia.
Terdahulu, proses bedah siasat terhadap jenazah kanak-kanak itu telah selesai dilakukan di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya (HPJ) pagi tadi. – UTUSAN