KAMPAR: Jasad mendiang Koperal Nurit Pandak disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Batu Berangkai di sini kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Perjalanan akhir mendiang disaksikan kira-kira 150 orang termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar, Deputi Superintenden Mohd. Aster Mohamad.
Terdahulu, penyerahan bendera Jalur Gemilang dilakukan oleh Mohd. Aster kepada balu mendiang, Jowissemborisxs Bah Johan, 36.
Menurut Jowissemborisxs yang merupakan seorang suri rumah, dia menerima ketentuan takdir kehilangan anak perempuan dan suaminya dalam tempoh singkat iaitu kurang dua tahun.
“Memang berat untuk menerimanya tetapi apakan daya ini merupakan ketentuan takdir. Saya terima dengan seadanya.
“Perihal kehidupan akan ditentukan selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, ibu mendiang, Ngah Libah Tunkut, 68, enggan bercakap dengan pemberita kerana tidak dapat menahan sebak kehilangan anak lelakinya.
Bapa mendiang, Pandak Rompan, 71, pula berterima kasih dengan semua pihak yang bersusah payah menguruskan jenazah anak ketiganya yang disifatkan pendiam dan berdisiplin.
“Maafkan salah dan silap anak saya (mendiang Nurit) sepanjang dia hidup doakan kesejahteraannya,” katanya.
Mendiang merupakan antara sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, trak FRU tersebut membawa seramai 15 anggota termasuk pemandu. – UTUSAN