Jangan rampas tanah atas nama pembangunan - Dr. Mahathir

Jangan rampas tanah atas nama pembangunan – Dr. Mahathir

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha mengekalkan orang Melayu di Kuala Lumpur tidak akan berhasil sekiranya rakyat tidak bersuara menentang tindakan merampas tanah milik mereka atas nama pembangunan bandar.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembaharuan bandar tidak seharusnya membawa kepada pengusiran penduduk asal sehingga wajah ibu kota seolah-olah menggambarkan negara lain.

“Saya berpendapat jika rakyat tidak bantah perancang merampas tanah milik orang Melayu, tidak akan ada dasar kerajaan mengekalkan Melayu di Kuala Lumpur.

“Kawasan Melayu yang daif memang perlu diperbaharui tetapi bukan dengan menghalau penduduk Melayu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia iaitu kerajaan akan memastikan orang Melayu kekal tinggal di Kuala Lumpur.

Itu tegas Perdana Menteri, Da­tuk Seri Anwar Ibrahim sambil berkata, tidak wujud sebarang usaha untuk mengusir orang Melayu daripada ibu negara seperti sentimen yang dimainkan pihak tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan berusaha membantu dan memperbaiki kehidupan orang Melayu di ibu kota de­ngan memberikan keselesaan terutama tempat tinggal.

Katanya, beliau sebagai Perdana Menteri tidak akan bangga dengan Kuala Lumpur sekiranya hanya dipenuhi dengan gedung-gedung besar.

Dr. Mahathir berkata, terdapat banyak pendekatan lebih bijak dalam membangunkan kawasan Melayu supaya selari dengan kemajuan bandar moden tanpa mengorbankan identiti dan pemilikan tanah mereka.

Mengambil contoh seperti Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur dan Bon Ton Resort di Langkawi, Dr. Mahathir berkata, pembinaan moden tetap boleh mengekalkan seni bina dan ukiran bercirikan Melayu.

“Ramai arkitek tempatan mampu mereka bentuk bangunan moden sehingga 10 tingkat yang mempunyai elemen Melayu dengan unit flat mewah di atas, sederhana di tengah dan mampu milik di bawah,” katanya.

Tambah beliau, aras bawah boleh menempatkan kedai-kedai kecil dan fleksibel untuk peniaga tempatan termasuk restoran dan perniagaan runcit seperti kraf tangan, barangan rotan, elektronik dan produk tradisional.

“Bazar Ramadan sangat berjaya. Tidak ada sebab kenapa makanan tradisional Melayu tidak boleh dijadikan perniagaan sepanjang tahun,” ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, tingkat atas boleh dijadikan ruang pameran barangan budaya seperti batik, songket, tenunan dari Sarawak dan Sabah serta keris, manakala produk buatan Orang Asli pula boleh ditempatkan di aras lebih tinggi.

Beliau berkata, institusi kewangan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pusat pungutan zakat perlu memainkan peranan sebagai pemaju pembangunan semula kawasan Melayu.

“Mereka boleh membangunkan kawasan Melayu yang hendak diperbaharui. Premis boleh dijual atau disewa pada kadar insurans rendah dalam jangka panjang,” katanya.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa pampasan wajar perlu diberikan kepada pemilik tanah, dengan latihan keusahawanan diberi kepada mereka yang ingin menjalankan perniagaan.

Jelasnya, pembangunan bercirikan Melayu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tempatan, malah boleh menjadi tarikan pelancongan antarabangsa.

“Tidak ada pemberian percuma. Mereka perlu bayar sedikit dan dilatih, urus perniagaan secara teratur dan simpan akaun dengan tertib.

“Amat menyedihkan apabila pelawat asing dibawa ke Kampung Baru, tetapi kawasan itu tidak mencerminkan kemajuan sebenar yang telah dicapai oleh orang Melayu di Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN