‘Jangan lupa untuk sayangi diri sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Jangan lupa untuk sayangi diri sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semena-mena air matanya jatuh ketika sedang mencuba memberikan jawapan terbaik kepada pertanyaan yang diajukan kepadanya berhubung keadaan dirinya pada waktu ini.

Sejak bergelar ibu tunggal, pertanyaan seperti ‘Mawar okey, macam mana sekarang?’ mungkin terlihat kecil, tetapi siapa tahu di hati pelakon ini, itulah pertanyaan penuh makna yang menyentuh hati nuraninya sebagai seorang wanita dan ibu.

Malah, sempat juga pelakon ini memberikan kata maaf kerana hakikatnya, seakan sudah lama dia tidak ada peluang untuk meluah seperti tempoh hari bersama rakan media yang dikenalinya.

“Seakan sudah lama tidak berjumpa awak semua, maaflah tak tahu kenapa saya menangis macam ini, macam dah lama tak ada peluang dan ruang nak berbual seperti ini.

“Bukan tak mahu berkongsi rasa sebelum ini, cuma mungkin waktunya tidak sesuai. Sekarang saya baru boleh berkongsi sedikit,”katanya spontan sewaktu berbual santai baru-baru ini.

Sesekali menyeka air mata yang mengalir, Mawar mengakui tidak mungkin dia mampu menipu bahawa hidup seorang diri sejak bergelar ibu tunggal dua tahun lalu itu mudah.

Tetapi, tiada lain yang perlu menjadi talinya untuk berpaut, kecuali terus kuat untuk membesarkan anak-anak.

“Ada banyak perkara yang membuatkan saya sebak. Setiap orang ada ujiannya yang tersendiri. Setiap hari saya berjuang untuk anak-anak. Mereka penguat semangat saya.

“Bila saya lihat mereka, saya rasa boleh tempuhi segalanya. Sebab itu saya kini banyak fokus kepada diri sendiri untuk sentiasa jadi kuat,” katanya.

Memujinya semakin pandai menjaga diri sekali gus terlihat lebih cantik berbanding sebelum ini, pelakon berdarah kacukan Melayu- Thailand ini mengakui baharu kini dia seakan ada ruang untuk memberi fokus kepada dirinya sendiri.

Tidak menolak bahawa sebelum ini lebih banyak mendedikasikan hidupnya kepada orang lain, kata Mawar, hal itu menyebabkan dirinya terlupa untuk menekan satu hal yang utama iaitu menyayangi diri sendiri.

“Terima kasih kepada yang memuji tetapi satu yang harus saya akui, segalanya memerlukan usaha yang sangat besar. Kepada para wanita di luar sana, jangan lupa untuk sayang diri sendiri.

“Ada kalanya kita terlampau berikan rasa kasih dan sayang kepada orang kita cinta seperti anak dan keluarga. Bila lihat ke cermin, kita tak kenal dan nampak diri sendiri.

“Saya rasa sangat penting buat para wanita yang bergelar ibu untuk beri masa kepada diri sendiri. Saya kini rasa lebih ceria dan makin positif,”katanya.

Sebak berbicara akan hal itu, Mawar mengakui dia juga telah melalui banyak ranjau dalam kehidupan.

Bagaimanapun, sebagai seorang manusia biasa, katanya, dia amat memahami bahawa segala yang berlaku memiliki hikmahnya yang tersendiri.

“Saya rasa itu adalah perjalanan hidup dan cara untuk saya belajar. Daripada apa yang saya lalui dalam hidup, saya kini tahu jalan mana yang perlu dipilih dan jadi insan yang lebih baik.

“Saya tak sempurna dan banyak lagi yang perlu diperbaiki. Saya harap semua pihak doakan yang terbaik untuk saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pihak terutamanya keluarga dan peminat.

“Saya terharu dengan sokongan para pengikut yang banyak memberikan komen-komen positif. Saya sangat bersyukur.

“Saya tidak akan berada di tahap ini tanpa sokongan orang yang sentiasa dekat dengan saya seperti keluarga, anak-anak, kawan-kawan dan peminat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem berjudul Nar’Sata: Sekufu Setan, kata Mawar filem arahan Pierre Andre itu bakal mencabar mental dan fizikalnya kerana berbeza berbanding naskhah yang pernah dibawakannya sebelum ini.

Kata Mawar, nakshah arahan Pierre kali ini berbeza daripada apa yang pernah ditontonnya.

“Naskhah Nar’Sata ini tak macam filem biasa seram biasa yang pernah saya tengok. Ia adalah filem horror thriller, banyak kekejaman dan kekerasan dipaparkan.

“Saya ini sebenarnya fobia dengan darah. Kalau nampak darah boleh pitam. Tetapi saya nak juga buat filem ini sebab pengarahnya ialah Pierre.

“Boleh dikatakan naskhah ini akan jadi sedikit campuran ala-ala The Conjuring dan Final Destination dari segi garapannya,”kata bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN