Insiden Putra Heights: 'Polis sudah lengkap siasatan, tunggu hasil JKKP'

Insiden Putra Heights: ‘Polis sudah lengkap siasatan, tunggu hasil JKKP’

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai melengkapkan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights termasuk siasatan membabitkan unsur kecuaian atau khianat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dijangka dikeluarkan penghujung bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu pihak polis mengeluarkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

“Jadi, sekarang ini kami sedang menunggu analisis lanjut oleh pihak JKKP, yang melibatkan analisis makmal. Ada pelbagai teknik diguna ke atas spesimen-spesimen paip yang telah diambil daripada kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sekurang-kurangnya ada lima spesimen (paip) telah dikeluarkan untuk siasatan ataupun analisa lanjut oleh JKKP, manakala agensi lain yang terlibat dalam siasatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains juga telah selesai mengambil sampel yang diperlukan.

Hussein berkata, selepas melengkapkan laporan kesemua agensi ini barulah pihaknya dapat menyimpulkan apa penyebab insiden letupan itu.

“Mereka (pihak terlibat dalam siasatan) akan dapatkan hasil analisis, barulah mereka boleh rumuskan sebab-sebab yang menyebabkan letupan itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan lokasi insiden kini telah diserahkan kepada Petronas untuk proses-proses pemulihan.

Ditanya adakah jengkaut yang dikatakan terbenam akibat letupan paip gas di Putra Heights telah dikeluarkan, beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti lokasi jengkaut itu namun jentera itu belum dikeluarkan.

“Kita akan keluarkan juga excavator selepas kerja-kerja pemulihan di ground zero selesai kerana sebelum ini kita tumpukan pada kawasan yang ada paip, kita tak boleh buat
serentak nanti kawasan itu akan runtuh.

“Jadi sekarang di kawasan paip tu sudah selesai dan apabila pihak Petronas selesai buat proses pemulihan di kawasan itu, pasukan siasatan akan bergerak ke arah tempat excavator yang terbenam. Kita tidak sekali-kali mengabaikan jengkaut itu tapi buat masa ini ia bukan keutamaan dalam siasatan ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN