PETALING JAYA: Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dengan kerjasama UN Women dan LeadWomen melancarkan inisiatif libat urus Tindakan Korporat Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPsCAL) sebagai usaha memperkasakan kesaksamaan jantina dalam dunia perniagaan.
Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, ini menandakan komitmen serius Malaysia dalam memperkukuh kedudukan wanita di tempat kerja melalui pendekatan inklusif dan menyeluruh.
Katanya, pelaksanaan program itu bakal memberi impak besar dalam meruntuhkan halangan yang menghalang wanita daripada mencapai potensi sebenar mereka dalam bidang profesional.
“TalentCorp berbangga menerajui inisiatif ini bagi membantu wanita mengimbangi kerjaya serta tanggungjawab keluarga sekali gus membuka potensi kepada mereka membentuk masa depan di mana kesaksamaan jantina memacu kemakmuran negara.
“Kerjasama ini merupakan titik perubahan penting dalam komitmen kolektif kita untuk memperkasa wanita di seluruh Malaysia.
“Melalui kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, kita berharap dapat mempercepatkan usaha mencapai kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 60 peratus, membentuk tempat kerja yang mesra keluarga serta memastikan peluang sama rata untuk semua wanita menyumbang dan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Shu Qi berkata, program itu merupakan antara strategi jangka panjang bagi menyokong usaha kerajaan ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan khususnya dalam bidang ekonomi dan sosial.
Katanya, pendekatan bersepadu menerusi program tersebut turut melibatkan kerjasama antarabangsa yang menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju kesaksamaan jantina di peringkat serantau.
“Pelancaran ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara pertama di Asia-Pasifik yang melaksanakan WEPsCAL, membuktikan kesungguhan kita dalam menghasilkan penyelesaian praktikal berlandaskan amalan terbaik global.
“Kami yakin bahawa pendekatan kohort yang digunakan akan membolehkan syarikat menilai kemajuan mereka, menggunakan data yang bersesuaian serta membentuk strategi yang disasarkan untuk memperkasa wanita secara berkesan.
“Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema ‘Kemampanan dan Inklusiviti’, fokus kepada tempat kerja mesra keluarga ini turut dijangka mencetuskan gerakan serantau dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya. – UTUSAN