'Ini soal parti PKR, saya tak mahu campur hal ini'

‘Ini soal parti PKR, saya tak mahu campur hal ini’

JOHARI Abdul Ghani melihat stesen minyak sawit B20 pada Majlis Peluncuran Projek Rintis Pengunaan Biodiesel Sawit B20 bagi Ground Service Equipment di KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa beliau enggan campur tangan berhubung pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli, mahu pun soal kekosongan jawatan Menteri Ekonomi itu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ini kerana perkara tersebut adalah berkait dengan PKR dan tidak seharusnya dicampuri.

“Ini tak ada kena mengena isi atau tak isi (jawatan menteri), ini adalah soal parti PKR, jadi kita jangan (campur), saya tak mahu campur hal ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi Ground Service Equipment di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Johari berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengaitkan namanya bakal mengisi kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan Rafizi.

Terdahulu, sebuah portal mendakwa kedudukan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinet bakal diisi oleh Johari yang memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Laporan tersebut turut mendakwa jawatan Johari pula akan diisi oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Ditanya lebih lanjut sama ada terdapat mesyuarat atau pun perbincangan anggota Kabinet dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengisian kekosongan jawatan berkenaan, Naib Presiden UMNO itu secara ringkas memaklumkan tiada sebarang perbincangan dibuat.

“Tak ada apa, belum ada mesyuarat Kabinet. Tak ada (perbincangan), ini pun dah banyak kerja nak buat,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar memberitahu, beliau masih belum memikirkan soal rombakan Kabinet memandangkan dua Menterinya, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sedang bercuti.

Perdana Menteri berkata, secara asasnya, penggantian jawatan bagi jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu tidak boleh dilakukan ketika pihak tersebut sedang bercuti.

Semalam, Anwar meluluskan permohonan cuti oleh dua anggota Kabinetnya itu selepas menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada dua pemimpin PKR itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN