PETALING JAYA: Industri pertahanan kini boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd. Saudi berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Ekonomi Negara 2025–2030, yang menekankan pembangunan sektor strategik bernilai tinggi sebagai teras daya saing masa depan negara.
Jelasnya, Malaysia kini berada di ambang transformasi industri pertahanan dengan usaha memperkukuh ekosistem pertahanan.
“Sektor ini dikenalpasti berpotensi tinggi untuk mendorong pembangunan teknologi, memperkasa industri tempatan, dan menjana pekerjaan bernilai tinggi, sejajar dengan keutamaan negara dalam fasa pembangunan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.
“Penguasaan teknologi merupakan elemen teras dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara. Selain itu, Malaysia juga telah mula membina keupayaan dalam bidang seperti aeroangkasa, pembuatan komponen, dan sistem komunikasi taktikal.
“Pelaburan dalam teknologi tempatan bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada import yang terdedah kepada risiko geopolitik dan turun naik pasaran global malah memperkukuh kedaulatan negara secara menyeluruh,” katanya.
Pada 12 Mei lalu, Perdana Menteri mengarahkan agar Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, ia khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.
Tambah Nur Surayya, pelaburan dalam industri pertahanan tidak boleh dianggap sebagai beban fiskal kepada negara.
Katanya, industri pertahanan menjana limpahan ekonomi (spillover effects) kepada pelbagai sektor lain seperti pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia.
“Universiti pertahanan dan institusi pengajian tinggi menjadi pemangkin kepada modal insan dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang akhirnya menyumbang kepada ekosistem inovasi nasional yang mampan.
“Dalam lanskap baharu global dan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global, industri pertahanan harus dilihat sebagai instrumen penting dalam menjamin ketahanan ekonomi,” katanya.
Bagaimanapun Nur Surayya berkata, industri pertahanan negara masih berdepan cabaran seperti ketergantungan kepada teknologi asing, kekurangan tenaga pakar tempatan dan kekangan pembiayaan R&D. – UTUSAN