Individu mengaku saksi kes rakaman suara KM Melaka mohon perlindungan

Individu mengaku saksi kes rakaman suara KM Melaka mohon perlindungan

MUHAMMAD Rafique Rashid Ali menunjukkan dua laporan polis yang dibuat oleh saksi berkenaan dalam sidang akhbar di WP Hotel, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua individu yang mengaku saksi berhubung rakaman suara tular didakwa melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Peguam yang mewakili kedua-dua individu itu, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, laporan dibuat pada 4 dan 5 Mei lalu di Balai Polis Batang Tiga, Melaka. 

Menurutnya, mereka terlibat secara langsung dalam isu tersebut dan sudah memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“Kedua-dua saksi tersebut telahpun secara rela hati membuat laporan polis dan mereka memohon untuk mendapat perlindungan di bawah Akta 711.

“Dalam kes ini, pihak polis mesti memberi perlindungan keselamatan, kita sahkan setakat ini kedua-dua saksi tersebut memang ada dan wujud,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Ab. Rauf menjangkakan terdapat 30 siri fitnah lagi bakal menyusul, selepas rakaman suara yang dikatakan mirip dirinya tersebar baru-baru ini.

Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan penahanan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pemimpin kanan parti politik di Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkaitan kes rasuah.

Ab. Rauf berkata, ia bukanlah kali pertama kerana sebelum ini beliau pernah disiasat pihak berkuasa susulan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu.

Tambah Muhammad Rafique, beliau tidak boleh mendedahkan identiti dua individu itu kerana tertakluk di bawah Akta 711.

“Kedua-dua saksi tersebut dirakam percakapan separa dan mungkin dipanggil lagi untuk siasatan lanjut. Kita serahkan kepada budi bicara pihak polis untuk buat dua perkara penting iaitu mengesahkan perlindungan yang diminta. 

“Pihak polis kena buat siasatan secara adil dan terbuka, jauh lebih penting lagi kerana ia melibatkan isu rasuah, integriti dan salah guna kuasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN