PUTRAJAYA: Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu kira-kira RM450 juta.
Menurut sumber, tangkapan itu susulan tangkapan sebelum ini yang melibatkan tuntutan butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dengan jumlah keseluruhan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM800 juta.
Suspek yang bergelar Datuk sebelum ini pernah ditahan reman selama empat hari pada 30 April hingga 3 Mei lalu membabitkan kes tuntutan palsu kira-kira RM360 juta.
Bagaimanapun beliau ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.
Perintah reman selama dua hari sehingga esok dikeluarkan terhadap suspek yang bergelar Datuk berusia sekitar 60-an, manakala reman selama lima hari sehingga 9 Mei dikeluarkan terhadap seorang lagi suspek berusia sekitar 50-an.
Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Siti Roslizawati Mohd. Zanin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
“Kedua-dua suspek lelaki itu telah ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM450 juta.
“Ia menggunakan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti daripada sebuah pejabat wilayah dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion,” katanya hari ini.
Minggu lalu seramai lima individu telah ditahan reman berkaitan kes ini dan empat daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM2009. – UTUSAN