KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan impak perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) masih lagi terkawal dalam tempoh terdekat susulan penangguhan pelaksanaan tarif timbal balik yang dikenakan terhadap negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah eksport ke AS pada tahun lalu, E&E merupakan eksport utama yang menyumbang hampir 60 peratus atau RM119.9 bilion.
Katanya, berdasarkan pemerhatian awal, prestasi eksport Malaysia kekal di landasan kukuh, khususnya eksport E&E yang masih mengekalkan momentum pertumbuhan yang menggalakkan.
“Dengan penangguhan pelaksanaan tarif timbal balas, impak perdagangan Malaysia dijangka masih lagi terkawal dalam tempoh terdekat ini.
“Segala ikhtiar reformasi struktur yang giat dilaksanakan, Kerajaan Madani telah membina ekosistem rantaian bekalan yang teguh serta mempelbagai produk dan pasaran eksport negara.
“Ini bagi memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pasaran mahupun produk yang terdedah kepada kejutan luaran,” katanya dalam Sidang Khas Parlimen mengenai tarif timbal balik AS, hari ini.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan perspektif eksport Malaysia ke AS, kerajaan menjangkakan impaknya terkawal namun apa yang dibimbangi adalah impak tarif timbal balik itu terhadap ekonomi global kerana negara mengamalkan dasar ekonomi terbuka.
“Kita perlu menerima kenyataan bahawa, setakat angka yang diperolehi hari ini, negara berdepan dengan unjuran ekonomi yang lebih sederhana. Pertumbuhan ekonomi dunia 2025 dijangka berkembang lebih sederhana berbanding unjuran awal,” katanya.
Anwar berkata, berdasarkan IMF World Economic Outlook antara April dan Januari 2025 pertumbuhan ekonomi global disemak semula kepada 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus.
” Pertumbuhan Amerika Syarikat 1.8 peratus berbanding 2.7 peratus; Indonesia 4.7 peratus berbanding 5.1 peratus; Thailand 1.8 peratus berbanding 2.9 peratus dan Malaysia 4.1 peratus berbanding 4.7 peratus.
“Jangkaan baharu ini bermaksud pertumbuhan ekonomi lebih sederhana di semua negara termasuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN