Imigresen KL tahan 1,789 PATI

Imigresen KL tahan 1,789 PATI

WAN Mohammed Saupee (tengah) ketika sidang akhbar di Kompleks KDN, Jalan Sri Hartamas, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur terus mempergiat usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila melaksanakan 272 operasi penguatkuasaan setakat 20 Mei lalu.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi berterusan itu telah membabitkan pemeriksaan terhadap seramai 3,587 individu, dengan 1,789 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, operasi dijalankan secara harian tanpa henti sebagai komitmen jabatan itu dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

“Tiada hari tanpa operasi kerana penguatkuasaan adalah keutamaan kami dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya ketik sidang akhbar di Kompleks KDN, Jalan Sri Hartamas, di sini hari ini. 

Jelasnya, sepanjang tempoh itu, seramai 68 majikan tempatan dan asing turut dikenakan tindakan kerana menggaji atau melindungi PATI.

“Kutipan kompaun keseluruhan hasil operasi tersebut mencecah RM4.59 juta, manakala sebanyak 1,551 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan.

“Tangkapan tertinggi melibatkan warga Indonesia, diikuti Bangladesh, Myanmar dan Pakistan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Repatriasi Migran 2.0 yang bermula pada 19 Mei lalu, beliau berkata, sebanyak 96 PATI telah tampil menyertainya dalam tempoh dua hari pelaksanaan.

“Kutipan hasil menerusi program itu berjumlah RM26,840 membabitkan kompaun dan bayaran pas khas,” katanya.

Menurut Wan Mohammed Saupee, pihaknya menasihatkan PATI yang ingin mengambil bahagian supaya membuat semakan awal dengan pejabat imigresen terdekat bagi mengelakkan kesesakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN