BESUT: Seorang imam masjid teruja peroleh ‘durian runtuh’ setelah diumumkan sebagai Pemenang Jutawan Sijil Simpanan Islamik (SSi) Bank Muamalat.
Yaacob Ishak, 82, dari Kampung Sentosa, Besut berkata, pada awalnya dia menganggap telah dihubungi scammer apabila dimaklumkan kemenangannya itu, namun ia disahkan benar selepas membuat rujukan di Bank Muamalat Cawangan Kampung Raja.
“Saya sangat terkejut dengan ‘berita’ yang diterima kerana simpanan saya belum tentu mencapai jumlah RM1 juta walaupun telah berusia 82 tahun.
“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana terpilih menjadi pemenang utama kempen SSi, meskipun pada awalnya anak-anak tidak percaya dan ini adalah rezeki saya bersama isteri dan anak-anak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia ketika Majlis Penyampaian Hadiah Kempen SSi di Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, penyertaan kempen SSi itu berlaku tidak langsung ketika dia hadir ke Bank Muamalat untuk mendeposit wang simpanan dan ditawarkan menyertainya oleh kakitangan bank tersebut.
Jelasnya, dia diberitahu pelbagai kemudahan dan faedah dapat dinikmati sebagai penabung khususnya di Bank Muamalat.
“Saya mulai menabung melalui SSi ini pada tahun lalu dan tidak menyangka simpanan itu memberi ‘rezeki’ kepada saya dan keluarga dengan duit kemenangan RM1 juta ini.
“Saya galakkan orang ramai sertai kempen simpanan di Bank Muamalat kerana ia patuh syariah, banyak faedah serta berpeluang memenangi hadiah lumayan,” katanya.
Selain itu, Yaacob berkata, minat menabung perlu diterapkan sejak usia kanak-kanak dan ia perlu dilakukan secara konsisten bagi kesenangan masa tua.
Menurutnya, dengan hadiah kemenangan itu dia berhasrat untuk menunaikan ibadah haji bersama suri hatinya, Azipah Hashim, 68, dan juga mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah bersama anak menantunya.

Katanya, dia akan membiayai 15 anak, 13 menantu beserta adik bongsu bersama pasangannya untuk bersama-sama dia dan isteri mengerjakan haji pada tahun ini.
“Selain itu, saya juga berhajat untuk bersedekah sebagai bekalan akhirat di mana sebahagian daripada hadiah kemenangan itu disumbangkan kepada masjid untuk membuat majlis makan jemaah,” katanya.
Dalam pada itu, Bank Muamalat memperkenalkan kempen simpanan terbaharu iaitu Save2Win bagi tahun 2025.
Save2Win menawarkan hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.5 juta yang bermula sejak 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.
Penyertaan dibuka kepada semua warganegara dan bukan warganegara berusia 12 tahun ke atas, termasuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS). – UTUSAN