Ibu pemandu Honda Jazz akan fail representasi

Ibu pemandu Honda Jazz akan fail representasi

NUR Farahidayah A Rahman (tengah) bersama peguamnya, Johan Radzi (kanan) pada sebutan kes pertuduhan membenarkan anaknya yang masih di bawah umur memandu kenderaan.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu kepada pemandu Honda Jazz yang menyebabkan tiga remaja maut pada Mac lalu akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan membenarkan anaknya yang masih di bawah umur memandu kenderaan.

Peguam, Johan Radzi yang mewakili Orang Kena Saman (OKS), Nur Farahidayah A Rahman, 40, memaklumkan perkara itu ketika prosiding sebutan kes hari ini di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd. Talhah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P.Rubini berkata, pihak pendakwaan sedia menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini.

Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik Honda Jazz telah membenarkan seorang kanak-kanak berusia 17 tahun memandu kenderaan itu.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height di sini pada 6 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi status representasi.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kemalangan pada 6 Mac lalu kereta Honda Jazz dipandu remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

Dua remaja meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, sementara seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban di sini pada 10 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN