PETALING JAYA: Ibu bapa disarankan menghantar anak-anak ke pusat tahfiz berdaftar bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.
Ini bagi mengelakkan tragedi seperti yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada 2017 lalu tidak berulang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua pihak termasuk institusi, ibu bapa, masyarakat dan agensi kerajaan.
Katanya, tragedi menyayat hati yang pernah mengorbankan nyawa pelajar tahfiz itu seharusnya menjadi pengajaran besar kepada semua pihak agar tidak berkompromi dalam soal keselamatan.
“Keselamatan para pelajar adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya pihak institusi tetapi juga ibu bapa, masyarakat dan agensi kerajaan.
“Peristiwa tragis yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada tahun 2017 seharusnya menjadi peringatan yang meruntun jiwa kita semua.
“Justeru, kita tidak boleh bertolak ansur dalam hal melibatkan nyawa dan keselamatan anak-anak kita yang sedang menuntut ilmu al-Quran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
2017 lalu, lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar dilaporkan maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Na’im berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa berusaha memperkukuh sistem pendaftaran, pemantauan dan penambahbaikan institusi tahfiz agar lebih tersusun dan selamat.
Katanya, pendaftaran maahad tahfiz membolehkan institusi berkenaan menerima pelbagai bantuan termasuk penyelenggaraan dan naik taraf premis seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan tahunan.
“Selain itu, pemilihan institusi yang berdaftar adalah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz.
“Usaha menyelaras Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Pelan Tindakan Pendidikan Tahfiz Negara (PEPTN) juga adalah antara langkah ke arah memperkasakan pendidikan tahfiz secara holistik,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa juga perlu lebih cakna dalam memastikan institusi yang dipilih benar-benar menepati piawaian kebajikan dan keselamatan.
“Jangan hanya melihat kepada aspek akademik dan hafazan semata-mata, tetapi pastikan juga premis tersebut mendapat kelulusan pihak berkuasa serta mempunyai sistem pengurusan yang baik.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa anak-anak yang menjadi pewaris al-Quran ini berada dalam persekitaran yang kondusif, selamat dan berintegriti. Semoga pendidikan tahfiz di negara ini terus berkembang maju dan diberkati,” katanya. – UTUSAN