Hutang RM4.65 juta: Tidak sangka Fazura begini - pembekal tudung - Utusan Malaysia

Hutang RM4.65 juta: Tidak sangka Fazura begini – pembekal tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pembekal tudung, Obor Holding Sdn Bhd mengesahkan mengalami masalah kewangan yang serius selepas syarikat milik pelakon, Nur Fazura, gagal melunaskan hutang sebanyak RM4.65 juta. 

Menurut pengasas dan pengarah urusan Obor Holding, Lim Boon Hai, pihaknya telah memfailkan tuntutan kepada Pink Fate Sdn Bhd dan Fazfit Sdn Bhd bulan lalu, selepas syarikat milik aktres tersebut tidak memberikan sebarang kerjasama. 

“Kami sudah failkan kes ini di mahkamah bulan lalu selepas gagal mendapat respons yang baik daripada syarikat milik Fazura. Kami tidak menafikan sukar untuk menuntut hutang sejak penghujung 2023. 

“Sejak tuntutan difailkan, tiada sebarang balasan daripada syarikat mereka kami terima sehingga kini.

“Kali terakhir kami berkomunikasi dengan Fazura dan pengurusan syarikat itu adalah pada penghujung 2024 namun mereka nampaknya memang tiada niat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Dalam pada itu, Lim turut terkilan apabila pihak syarikat pelakon Pisau Cukur itu hanya memberikan janji kosong termasuklah sebuah cek tendang pada September tahun lalu. 

“Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku sehingga mereka tidak mampu melunaskan hutang sehingga kini. Apa yang kami terima hanya janji kosong konon mahu bayar namun  yang kami dapat hanya cek tendang.

“Syarikat kami mengalami situasi kewangan yang serius gara-gara itu membuatkan kami terpaksa mengambil langkah lain untuk menyelesaikan isu ini,” tambahnya. 

Tambah Lim lagi, dia  tidak menyangka situasi seperti ini terjadi selepas bekerjasama dengan selebriti popular itu.

“Tidak sangka semua ini terjadi, saya tidak akan bersuara jika dakwaan tidak benar. Tidak sangka orang popular sepertinya buat kami tertunggu-tunggu untuk mendapatkan hak kami.

“Saya harap orang luar di luar sana boleh mengambil pelajaran, jangan menjadi mangsa seperti kami,” katanya. 

Terdahulu pada Jun 2022, syarikat pembekal tudung, Obor Holdings memberi pinjaman kepada syarikat milik Fazura sebanyak RM7.3 juta. 

Syarikat milik Fazura, Pink Fate Sdn Bhd dan Fazfit Sdn Bhd bagaimanapun hanya membayar RM2.68 juta setakat Disember 2023.  -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN