PETALING JAYA: “Mari kita lalui perjalanan ini sekali lagi.”
Demikian kata pelakon, Hun Haqeem yang mengesahkan dirinya mengalami kecederaan pada Anterior Cruciate Ligament (ACL), hari ini.
Reda dengan ketentuan takdir, Hun yakin dia boleh melalui fasa itu sekali lagi memandangkan dirinya pernah menjalani prosedur rawatan yang sama, sebelum ini.
“Sudah takdir, masa untuk sembuh dan kembali kuat. ACL kali kedua. Saya pernah laluinya sebelum ini, saya boleh lakukannya sekali lagi,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam hantaran sama, pelakon drama bersiri From Saga With Love 2 itu turut berkongsi hasil laporan kesihatan berkaitan kecederaan yang dialami pada bahagian lutut.
Dalam perkongsian lain, Hun turut memuat naik foto bersama doktor yang merawatnya dan menitipkan ucapan penghargaan buat mereka.
“Apa yang saya boleh lakukan jika tiada mereka. Bersyukur mereka dapat memudahkan segalanya. Semoga Allah sentiasa permudahkan urusan mereka,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Hun tidak memberitahu sebarang perincian lengkap mengenai prosedur rawatan susulan yang perlu dilaluinya selepas ini.
Pada Jumaat lalu, Hun terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta gara-gara mengalami kecederaan pada lutut kanannya selepas bertempur dengan pelakon, Ikmal Amry semasa menyertai Kejohanan Sukan Tempur di gelanggang Fury Championship.
Terdahulu, Hun pernah menjalani rawatan yang sama buat pertama kali pada Oktober 2023 gara-gara mengalami kecederaan sewaktu penggambaran drama W: Two Worlds.
Insiden tersebut turut menyebabkan aktor itu terpaksa berehat panjang daripada sebarang aktiviti seni lakon sebelum mengesahkan kesihatannya telah kembali pulih sekitar awal tahun lepas. -UTUSAN