Hubungan Malaysia-Russia berasas prinsip keamanan

Hubungan Malaysia-Russia berasas prinsip keamanan

MOHAMAD Hasan bergambar dengan golongan belia pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Paroi, Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Russia yang terjalin adalah berasaskan prinsip keamanan, bebas dan berkecuali.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bebas menjalinkan hubungan dengan mana-mana negara, asalkan negara tersebut mengamalkan prinsip kemanusiaan.

“Kita tidak mahu bersahabat dengan negara yang memecahkan tembok kemanusiaan atau mengabaikan nilai-nilai sejagat seperti gencatan senjata di Gaza,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Paroi di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi beliau ke Russia baru-baru ini bukan membawa maksud Malaysia memihak kepada mana-mana blok kuasa dunia.

Katanya, hubungan Malaysia dengan Russia juga tidak menjejaskan persahabatan negara ini dengan Amerika Syarikat dan juga China.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dalam pada itu menjelaskan, hubungan diplomatik Malaysia-Russia sudah terjalin sejak sekian lama, dan lawatan rasmi terakhir adalah pada 2007 ketika Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun kita menjalin hubungan dengan Russia, kita tidak mengikut ideologi mereka. Malaysia kekal dengan sistem demokrasi, manakala Russia mengamalkan ideologi tersendiri,” jelas beliau.

Tambahnya, tujuan utama hubungan berkenaan adalah terutamanya berkaitan aspek perdagangan kerana Malaysia merupakan negara perdagangan yang ekonominya bergantung kepada pasaran global.

“Adalah mustahak untuk kita membuka ruang dan pasaran sebesar-besarnya bagi menembusi pasaran baharu agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran tradisional sahaja,” katanya. 

Mohamad berkata, daripada segi pelaburan asing pula, banyak yang boleh ditawarkan oleh Russia terutamanya dalam bidang teknologi.

“Pihak Russia juga telah memberikan tawaran sehingga 50 peratus biasiswa kepada pelajar Malaysia yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi, khususnya di peringkat ijazah sarjana. Saya harap peluang ini dapat direbut oleh anak-anak Malaysia,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN