KUALA LUMPUR: Hubungan baik di antara kerajaan Pusat dan negeri Sabah menjadi kesinambungan dalam mengukuhkan lagi tuntutan berkaitan hak-hak kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara itu dilihat secara jelas pada percaturan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajii Noor dalam setiap langkah dan strategi supaya apa yang dituntut itu boleh dilaksanakan, ini kerana segala keputusan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.
Menurut pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Romzi Ationg, Hajiji dilihat agresif dalam memperjuangkan MA63 dan dalam masa yang sama turut meletakkan fokus terhadap isu-isu pembangunan yang perlu ditambah baik.
“Mana-mana Ketua Menteri Sabah sudah pasti ingin melakukan yang terbaik dan perkara yang sama diambil oleh Datuk Seri Hajiji. Cuma apa yang berbeza adalah beliau adalah ahli jawatankuasa penyelesaian MA63, jadi kita boleh melihat hubungan baik beliau bersama dengan Perdana Menteri dapat mengukuhkan lagi terhadap tuntutan Sabah supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih konkrit.
“Mungkin ada yang menjelaskan ia hanyalah retorik, namun apa yang dilakukan Datuk Seri Hajiji sebenarnya memerlukan kebijaksanaan untuk menjaga hubungan baik dengan kerajaan Pusat lebih-lebih lagi berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dan dalam masa yang sama hak dan tuntutan rakyat Sabah perlu diperjuangkan. Ia bukan suatu perkara yang mudah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Selaras dengan usaha tersebut, ia dapat dibuktikan melalui usaha dan keseriusan Perdana Menteri dalam menyelesaikan agenda MA63, sejajar dengan semangat pembentukan Malaysia kerana komitmen seperti itu sememangnya telah lama dituntut.
Dalam hal ini, kerajaan telah berjaya menyelesaikan 11 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan tujuh daripadanya telah dimuktamadkan.
Jelas Romzi, kejayaan itu sudah pasti adalah hasil daripada kerjasama dan rundingan positif di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Hajiji selalu Ketua Menteri Sabah itu sendiri , sekali gus menyifatkan ia sebagai pencapaian terbesar berbanding dua Perdana Menteri sebelum ini.
“Hanya selepas 2010 barulah ada usaha lebih ketara dalam membincangkan perkara berkaitan MA63. Komitmen seperti ini diharap dapat memperkukuh lagi ikatan antara wilayah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara Persekutuan dikenali sebagai Malaysia,” jelas Romzi.
Untuk rekod, dalam tempoh kepimpinan Hajiji ini, tujuh tuntutan diselesaikan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
Penyelesaian itu turut merangkumi pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi tujuan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Kejayaan tersebut dilihat selaras dengan jaminan Ketua Menteri Sabah sebelum ini bahawa suara dan tuntutan berkaitan MA63 tidak berasaskan kepentingan negeri semata-mata tetapi demi kesejahteraan negara.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, tuntutan berkenaan adalah berlandaskan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan sekali gus percaya bahawa kemajuan dan kejayaan negeri Sabah mampu memberi makna besar kepada negara.
“Kita tidak sesekali ambil hak orang lain tetapi kita menuntut hak-hak kita dipelihara. Tidak timbul soal kesetiaan kepada negara. Hidup dan mati rakyat negeri Sabah adalah untuk Malaysia yang tercinta maka, kita amat hargai usaha Perdana Menteri dalam isu-isu tertangguh dalam MA63 ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Romzi turut menjelaskan yang Anwar diyakini komited untuk menyelesaikan ketidakpuasan berkaitan isu MA63, berdasarkan kekerapan Perdana Menteri membincangkan perkara terkandung dalam perjanjian itu bersama jawatan kuasa Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Ini sekali gus membolehkan keputusan dibuat dan pelbagai perkara yang dibangkitkan akan dimuktamadkan segera. – UTUSAN