PETALING JAYA: Sering dikaitkan dengan penyanyi, Amira Othman, pelakon, Fattah Amin mengakui dirinya lebih selesa untuk tidak mendedahkan kisah peribadinya secara terbuka.
Menurut Fattah, dia masih percaya akan kewujudan cinta itu meskipun sebelum ini pernah berdepan dengan kegagalan rumah tangga.
Namun, dirinya enggan mengulas mengenai hubungannya dengan Amira secara terperinci demi menghormati penyanyi itu dan keluarganya.
“Cinta itu memang wujud. Saya percaya cinta itu mungkin ada, mungkin tidak ada. Saya tidak tahu. Kalau boleh saya mahukan perkara ini tidak diceritakan secara terbuka.
“Kami juga lebih fokus kepada kerjaya kami. Saya tak boleh cerita lebih-lebih, saya kena hormat Amira dan keluarganya,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditemu bual oleh pengacara, Michelle Wee dalam sebuah rancangan televisyen, Nona.
Terkenal dengan peribadinya yang sentiasa menjaga privasi, duda anak satu itu menegaskan dirinya hanya akan berkongsi kemanisan kisah hidupnya bergantung pada situasi.
“Dari segi Islam kita kena percaya. Kalau rasa tak manis untuk berkongsi, kita jangan kongsi.
“Kalau perkara itu ada kemanisan, membuatkan orang lain rasa senang, kita kongsi. Selagi kita jaga batas, sudah cukup,” jelasnya.
Sejak kebelakangan ini, hubungan Fattah dan Amira semakin mendapat sorotan dalam kalangan warganet selepas kerap dilihat bersama di media sosial dan acara.
Hubungan pasangan itu turut mendapat lampu hijau daripada netizen apatah lagi apabila pelakon itu sudah bertemu dengan keluarga Amira pada Syawal lalu.
Terdahulu, Fattah mendirikan rumah tangga dengan aktres, Nur Fazura pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.
Namun, Fattah dan Fazura disahkan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada 7 Oktobet tahun lalu.-UTUSAN