KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Harun Hashim mengakui kehidupannya terumbang-ambing semenjak kehilangan isterinya, Allahyarhamah Sakinah Ganjali enam bulan lalu.
Menurut Harun, dirinya terpaksa menanggung kesedihan itu seorang diri dan hanya mampu mengubati luka tersebut dengan melawat pusaranya setiap hari.
“Sejak pemergian arwah, setiap hari saya menziarahi pusara arwah. Saya berasa tidak tenteram jika tidak pergi ke kuburnya walau sehari. Sebab itu jugalah, saya mencari rumah berdekatan dengan pusara isteri.
“Pemergiannya amat memberi kesan kepada saya. Terasa kosong dan sunyi itu. Setiap hari saya menangis seorang diri. Dia sering menemani saya ke mana saja. Dia jugalah yang selalu menunjukkan arah jalan untuk saya.
“Hidup ini ibarat patah sebelah kaki. Tidak ada siapa yang tahu kesedihan yang saya lalui,” katanya usai majlis pelancaran program Haji TV AlHijrah 1446H: Menyahut Panggilan-Mu, pada Selasa.
Meskipun perlu menjalani kehidupan sendirian, Harun memberitahu enam orang anaknya hasil perkahwinan terdahulu ada datang menjenguknya sekali sekala.
Bakal muncul menerusi drama bersiri, Bilal dan Abah yang akan disiarkan di TV Alhijrah, Harun memberitahu dirinya masih lagi menerima tawaran lakonan demi kelangsungan hidup.
Harun bagaimanapun memberitahu dirinya terpaksa menerhadkan penerimaan tawaran kerana faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan lebih-lebih lagi penglihatannya juga sudah terhad.
“Alhamdulillah, setakan ini saya masih menerima tawaran lakonan tetapi tidak semua saya terima atas faktor kesihatan. Saya ada masalah darah tinggi, kencing manis dan kolestrol.
“Penglihatan saya juga semakin terhad adakalanya nampak adakalanya tidak terutamanya mata sebelah kiri saya. Saya terima tawaran yang perlu sahaja. Dapat jayakan satu naskhah pun jadilah untuk menampung kehidupan saya dalam masa enam bulan,” jelasnya.
Ditanya sama ada dirinya terfikir untuk berkahwin lagi sekali, Harun berkata dia enggan melakukan demikian kerana sedar usianya sudah lanjut.
Pada 21 November lalu, isteri pelakon itu dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun akibat kanser payudara tahap empat.-UTUSAN