KUANTAN: Kementerian Pengangkutan membuat keputusan tepat apabila mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Russia, InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi secara haram menghentikan perkhidmatannya berkuatkuasa 24 Julai ini.
Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ia penting bagi memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing mengikut dan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kita menyokong tindakan diambil Kementerian Pengangkutan bagi memastikan undang-undang yang sudah pun dikuatkuasakan adalah adil kepada semua pihak yang terlibat.
“Dalam masa sama, kita berharap kerajaan segera mewujudkan Suruhanjaya Ekonomi GiG Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia keseluruhan komuniti ekonomi gig di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada e-hailing dan p-hailing sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mengarahkan InDrive dan Maxim menghentikan perkhidmatannya berkuatkuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, surat berhubung perkara itu sudah dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada dua aplikasi e-hailing tersebut.
Isnin lalu, kerajaan digesa mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap dua aplikasi e-hailing Russia itu termasuk menyekat akses platform perkhidmatan tersebut.
Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) dalam kenyataan mendakwa, kedua-dua platform e-hailing itu didapati terus menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
Ia termasuk tidak memastikan para pemandu mereka memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah seperti diwajibkan oleh undang-undang negara ini.
Mohd. Sharkar berkata, ekonomi gig merupakan bidang yang luas merangkumi e-hailing, p-hailing, pekerja bebas, pemuzik, pereka grafik, jurugambar perkahwinan, penulis dan penganalisis kandungan, pengurus media sosial, akauntan bebas, penyunting video dan pengaturcara.
“Akta Ekonomi GiG dan Penubuhan suruhanjaya ini dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan komitmen kerajaan ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Pihak sekretariat berharap ia disegerakan bagi menjadi pusat bersepadu bukan hanya untuk membela kebajikan dan melindungi penggiat ekonomi gig, malah berfungsi sebagai mengawal selia kapitalisme digital dalam industri ini.
“Dengan adanya suruhanjaya itu, penggiat ekonomi gig dapat memperbaiki status sebagai pekerja tidak formal bagi membolehkan mereka mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti dilakukan pekerja formal.
“Selain itu, ia akan menyelesaikan isu dihadapi penggiat industri ini terutama berkenaan sistem bayaran yang lebih adil supaya nanti mungkin dapat diperkenalkan perlindungan gaji minimum buat mereka,” ujarnya. – UTUSAN