Hassan Karim sokong Nurul Izzah bertanding

Hassan Karim sokong Nurul Izzah bertanding

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiada unsur nepotisme dalam pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana perkara itu bukan keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya kehendak majoriti akar umbi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan bahawa Nurul Izzah layak memegang jawatan tersebut atas kapasiti peribadi, bukannya kerana ‘anak kepada bos’.

Katanya, Anwar mahupun isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pasti malu sekiranya mereka yang mencadangkan nama Nurul Izzah bagi jawatan itu.

“Siapa kita untuk nafikan hak Nurul Izzah bertanding bagi jawatan tersebut, adakah kerana dia anak kepada Anwar? Sebaliknya, lihat siapa yang mahukan kepimpinan beliau jika bukan akar umbi parti.

“Saya sendiri lantang menentang budaya nepotisme sama ada dalam parti atau kerajaan. Tetapi Nurul Izzah ada kapasiti sendiri, ini juga merupakan jawatan yang penting dan beliau layak menjawatnya.

“Dia telah bukti kemampuan diri sejak menyertai perjuangan PKR ketika berusia 18 tahun lagi, beliau lupakan cita-cita menjadi jurutera kerana menyokong perjuangan PKR sehingga kini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Pam Air di Kampung Belantik di sini, hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor menyokong Nurul Izzah bertanding bagi jawatan tersebut, namun mahu ahli-ahli membuat keputusan secara bersama.

“Biarlah ada pertandingan bagi jawatan itu, kalah atau menang akan ditentukan oleh ahli-ahli PKR yang mengundi pada Kongres Nasional PKR tidak lama lagi.

“Jika boleh, biar ada saingan dua atau tiga penjuru, biarkan ia sengit jadi apa-apa keputusan akhir semua pihak berpuas hati,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN