Hari Wukuf: Jumlah jemaah diletak ikut keluasan khemah

Hari Wukuf: Jumlah jemaah diletak ikut keluasan khemah

HISHAM (kanan) memantau persiapan khemah jemaah haji yang terdapat di Mina menjelang kemuncak Masyair bulan depan. - IHSAN TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jumlah jemaah haji di Arafah dalam sesebuah khemah bakal bergantung kepada keluasan khemah di mana yang bersaiz besar boleh memuatkan lebih 200 orang, manakala di Mina seramai 16 hingga 20 orang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Pasukan Operasi Masyair dan Maktab kini sedang giat membuat persiapan untuk jemaah haji Malaysia yang akan berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah.

Menurutnya, ketika ini hampir 95 peratus khemah-khemah di Arafah telah dipasang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi dengan khemah bersaiz besar boleh memuatkan lebih 200 orang.

“Setiap khemah dilabel jelas nombor maktab dan nombor khemah. Jemaah haji akan diberi lokasi nombor khemah di Arafah dan Mina dan jemaah boleh membuat semakan melalui aplikasi THHujjaj dalam sedikit masa lagi.

“Di Muzdalifah, lokasi lapang tanpa khemah, jemaah ditempatkan mengikut maktab dengan pihak Al Masiah (Masyarik) akan menyediakan tikar atau karpet di keseluruhan kawasan bermabit berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Arafah kelmarin.

Beliau berkata, Jemaah Pakar Rujuk Bimbingan Haji bagi musim haji 1446H telah memutuskan penetapan waktu separuh malam pada malam 10 Zulhijjah di Muzdalifah bermula pada pukul 11.36 malam.

“Waktu ini bagi menentukan bermula waktu bermalam di Muzdalifah; bermula waktu melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah; bermula waktu untuk tahalul awal (gunting rambut) dan bermula waktu tawaf haji.

“Dalam pada itu, tempoh bermalam di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1446H pula sekurang-kurangnya 4 jam 35 minit,” katanya.

Katanya, antara kemudahan yang disediakan di Arafah dan Mina seperti makanan harian tiga kali sehari dalam bentuk makanan sedia dimakan disalurkan terus ke khemah, konsultasi perubatan lapangan sementara beroperasi 24 jam dan penempatan pasukan perubatan TH di lokasi yang strategik sepanjang jalan ke tempat melontar.

Dalam pada itu, katanya, seramai 25,331 jemaah haji telah selamat berada di Tanah Suci melalui 84 jumlah penerbangan sejak operasi haji musim ini bermula pada 29 April lalu.

“Statistik jemaah haji yang telah tiba di Tanah Suci setakat ini adalah seramai 25,281 orang di Mekah, manakala 50 jemaah masih berada di Madinah.

“Jumlah penerbangan yang telah berlepas ke Tanah Suci adalah sebanyak 84 daripada 100 keseluruhan penerbangan. Kini hanya berbaki 16 penerbangan lagi,” katanya pada sidang akhbar di Arafah semalam.

Dalam pada itu, katanya, jumlah semasa jemaah haji yang menerima rawatan setakat pukul 12 tengah hari kelmarin adalah seramai 62 orang dengan masing-masing 57 di Pusat Rawatan Tabung Haji dan lima orang di Hospital Arab Saudi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN