PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua lapisan masyarakat untuk mengangkat nilai-nilai universal yang mencakup persoalan serta prinsip belas ihsan, kerukunan dan kedamaian sempena Hari Wesak yang disambut hari ini.
Perdana Menteri berkata, sambutan Hari Wesak di negara ini mengajak serta menjentik nurani masyarakat untuk bersama menyemarak karamah insaniah dan menyuguh prinsip hormat yang tulus sesama insan di tengah kemajmukan.
“Hari Wesak adalah peringatan penting terutamanya dalam mengangkat nilai-nilai universal yang mencakup persoalan serta prinsip belas, kerukunan dan kedamaian.
“Saya menyeru untuk semua menyemangatinya demi negara yang berukun dan berpadu sambil mengekal tradisi dan budaya yang terangkum,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Hari Wesak yang disambut hari ini merupakan hari suci terpenting bagi penganut Buddha sempena memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama iaitu pengasas agama Buddha. – UTUSAN