PUTRAJAYA: Pengendali perkhidmatan E-hailing tempatan, GV Ride, menyasarkan untuk menyediakan 1,000 kenderaan elektrik (EV) secara sewa beli kepada pemandu mereka tahun depan bagi menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kabeer Maand berkata, program sewa beli itu sepatutnya dijadual bermula awal tahun ini namun, tertangguh akibat kelewatan penghantaran dari pihak pengilang di China.
Beliau berkata, pihaknya dijangka menerima kumpulan pertama kenderaan EV bulan depan sebelum mendapat pengesahan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kami jangka dalam bulan Oktober atau November tahun ini akan dapat pengesahan JPJ dan kita akan mulakan program sewa beli itu,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Hadiah Program ‘Kayuh & Menang’ GV Ride, hari ini.
Katanya, program ini bertujuan membantu pemandu E-hailing sepenuh masa beralih kepada EV dengan kaedah pemilikan mampu milik tanpa memerlukan bayaran pendahuluan yang tinggi.
Kabeer berkata, buat permulaan, pemandu tidak perlu keluar duit pendahuluan untuk program sewa beli itu.
“Bayar deposit mungkin dalam RM2,000 ke RM3,000. Ambil kereta EV, sewa beli lim tahun. Kita akan beralih daripada kereta biasa ke EV tahun depan,” katanya.
Katanya, keutamaan diberikan kepada pemandu sepenuh masa kerana komitmen penggunaan yang lebih tinggi dan mampan untuk menampung kos kenderaan EV.
Dalam pada itu, Kabeer berkata, GV Ride turut mengumumkan promosi diskaun tambang RM10 bagi Jun ini, tertumpu di kawasan Subang, Kuala Lumpur termasuk Universiti Malaya (UM) serta kawasan universiti di Hulu Langat, sebagai inisiatif membantu mobiliti pelajar.
Dengan pelaksanaan projek ini, GV Ride dijangka menjadi antara pelopor dalam usaha membawa transformasi tenaga bersih ke dalam industri e-hailing tempatan. – UTUSAN