PETALING JAYA: Sumbangan golongan pendidik di negara ini dalam memberikan ilmu kepada anak bangsa selama ini menerima ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sempena sambutan hari guru hari ini, Perdana Menteri menyifatkan warga pendidik di seluruh negara sebagai ‘wira sejati’ dalam membentuk masa depan negara.
Menurut beliau, setiap individu sama ada pemimpin negara, doktor, jurutera, petani mahupun dirinya sendiri, semuanya bermula di sebuah bilik darjah.
“Segalanya bermula di dalam bilik darjah. Guru ialah insan mulia yang tidak pernah meminta untuk dipuja tetapi setiap hari mereka menghembus kesabaran dalam mengukir masa depan anak bangsa dengan penuh kasih sayang.
“Maka sempena Hari Guru ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik,” kata beliau menerusi akaun media sosialnya hari ini.
Lebih menarik ucapan penghargan Anwar itu turut disertai dengan watak-watak animasi termasuk Ejen Ali.
Tambah Perdana Menteri, setiap guru adalah seorang satria yang sabar membentuk akhlak dan teguh mempertahankan nilai.
“Seperti ejen-ejen terhebat, mereka (guru) sentiasa berjuang di medan ilmu demi memastikan misi pendidikan tercapai. Semangat mereka tinggi menjulang, menjadi tunjang utama negara,” ujarnya.
Anwar dalam pada itu turut menyeru agar golongan guru terus menyemai ilmu dengan penuh tekad dan keikhlasan/
“Kami semua menjadi saksi betapa besar jasa guru. Andalah wira sejati yang membentuk masa depan Malaysia,” katanya. – UTUSAN