PASIR MAS: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menikam anak lelakinya berusia 11 tahun di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, dekat sini, dua minggu lalu.
Tertuduh, Asrolfandi Ab. Suki, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat membunuh telah menikam anaknya menggunakan sebilah pisau sehingga mengakibatkan kecederaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di kampung berkenaan kira-kira pukul 8.55 pagi, 2 Mei lalu. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili penguam. Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon satu laporan lengkap kesihatan tertuduh berikutan terdapat laporan bahawa Asrolfandi mempunyai masalah mental.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak untuk pemerhatian doktor dan laporan kesihatan mental selain menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki cedera ditikam bapanya yang dipercayai mengalami gejala kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol. – UTUSAN