PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pendidik sempena sambutan Hari Guru 2025 dengan menzahirkan penghormatan terhadap peranan besar mereka dalam membentuk generasi pewaris negara.
Menerusi kenyataan khas dalam Facebook, beliau mengimbau kembali jasa guru yang telah membimbing setiap insan sejak dari mula belajar mengeja sehinggalah memahami makna kehidupan.
“Di sebalik setiap kejayaan yang kita kecapi hari ini, berdirinya seorang guru yang pernah sabar membimbing saat kita masih terkial-kial belajar mengeja dan memahami erti kehidupan.
“Ucapan terima kasih saya kepada semua warga pendidik dari ceruk desa hingga ke kota, dari tadika hingga ke menara gading atas jasa dan dedikasi mereka yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu dan membentuk sahsiah generasi masa depan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kekuatan sistem pendidikan negara tidak semata-mata terletak pada dasar dan polisi, tetapi bergantung kepada komitmen ikhlas para guru.
“Saya percaya kekuatan sistem pendidikan negara tidak hanya terletak pada dasar dan polisi, tetapi juga bergantung kepada komitmen para guru yang mendidik dengan hati, membimbing dengan kasih dan membina masa depan anak bangsa dengan penuh keikhlasan,” ujarnya.
Beliau turut menitipkan pesanan penuh makna kepada warga pendidik:
“Di bawah statistik dan sistem, jangan pernah hilang jiwa.
Di celah data dan dasar, jangan pernah padam cinta.
Teruskan menyalakan pelita.
Kerana di hujung terang ilmu itu, terbentuklah sebuah bangsa yang merdeka jiwanya, mulia akhlaknya dan tinggi martabatnya.”
Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-54 tahun ini diraikan dengan tema memperkukuh peranan guru sebagai pembina peradaban dan pemangkin kemajuan negara, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Sambutan diadakan di Kuching, Sarawak bermula Rabu, dan kemuncaknya hari ini bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’. – UTUSAN