PETALING JAYA: Berjaya melepasi episod pertama Sing! Asia, penyanyi, Amsyar Leee mengakui terharu dengan sambutan positif yang diterima meskipun perlu berentap dengan peserta yang lebih berpengalaman.
Menurut Amsyar atau Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, 26, dia menganggap pencapaian tersebut sebagai permulaan yang baik buat karier nyanyiannya pada tahun ini.
“Saya gembira menerima maklum balas peminat yang pertama kali menonton episod pertama Sing! Asia minggu lalu. Ada banyak cabaran yang dilalui dan dalam masa yang sama membentuk banyak pengalaman baharu.
“Saya anggap ini merupakan permulaan yang baik buat kerjaya seni pada tahun ini walaupun terpaksa bersiang dengan peserta dari negara lain,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mula menjalani rakaman sejak Februari lalu, Amsyar enggan sia-siakan peluang untuk menunjukkan kebolehan diri dan menempa nama yang lebih besar di peringkat antarabangsa.
Kata Amsyar, dia sering berdepan dengan perasaan gugup dan kegelisahan ketika berada di pentas namun, perkara itu bukanlah penghalang untuk dirinya terus mengharumkan nama negara.
“Cabaran paling besar bagi saya adalah kena nyanyi lagu dalam bahasa Mandarin. Itu bukan bahasa yang saya kuasai, jadi dari segi sebutan, emosi dan penyampaian, semua itu perlukan usaha yang lebih.
“Tambah pula lagu-lagu yang saya bawa semuanya berat dan penuh emosi. Tapi sebenarnya, cabaran sebenar bukan berlawan dengan peserta lain. Cabaran sebenar saya adalah diri sendiri.
“Saya ada rasa gugup dan anxiety (gelisah), rasa takut yang datang bila berdiri atas pentas depan ramai orang. Tapi saya cuba lawan semua tu sebab saya tahu, setiap langkah ke depan adalah satu kemenangan kecil buat diri saya,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi yang berkebolehan untuk membuat suara wanita itu meluahkan rasa teruja dapat bekerjasama dengan produksi luar negara yang banyak memberikan ilmu baharu terutamanya dari segi teknik vokal.
“Saya harap sangat dapat melangkah ke final dan buat yang terbaik dan membanggakan negara. Saya mahu buka mata ramai orang bahawa suara ini merupakan suara anak Malaysia yang ada kekuatan jiwa yang boleh menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya.
“Walaupun saya terima kecaman hebat dari segelintir rakyat Malaysia yang kurang selasa dengan cara saya membawakan lagu, saya percaya setiap suara ada tempatnya. Perjalanan saya masih jauh tapi selagi ada sokongan, doa dan keberanian untuk terus berdiri, saya akan terus melangkah,” ujarnya.
Terdahulu, Amsyar membawakan lagu Cinta nyanyian asal Marsha Milan berjaya mengalahkan pencabar terdekatnya, Yang Run Ze dengan 20 undian sekali gus menjadi pilihan juri iaitu penyanyi antarabangsa, Jessie J.
Sing Asia merupakan program nyanyian yang bertujuan mencari dan mengasah bakat penyanyi muda di Asia.
Menariknya, program ini diadakan di atas kapal persiaran mewah yang akan berlayar di Okinawa (Jepun), Ha Long Bay (Vietnam), Singapura, Klang (Malaysia), sebelum kembali ke Hong Kong.