Gudang kereta simpan dadah RM7.1 juta diserbu

Gudang kereta simpan dadah RM7.1 juta diserbu

KETUA Polis Daerah Gombak, ACP Ariffin Mohamad Nasir (tengah), menunjukkan dadah yang dirampas setelah berjaya menumpaskan sindiket di sekitar Gombak pada sidang media di IPD Gombak. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Sebuah gudang kereta dijadikan tempat menyimpan dadah jenis syabu bernilai RM7.1 juta, diserbu pihak berkuasa pada 14 Mei lalu.

Menerusi serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu, seorang lelaki tempatan berperanan sebagai penghantar dadah, telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil pemeriksaan, sebanyak 212 bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 222,331 gram (222.3 kilogram) ditemukan dalam sebuah Toyota Vios. 

“Kita percaya dadah yang dirampas diperoleh dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang. 

“Semakan mendapati, suspek yang juga penjual kereta terpakai, tiada rekod jenayah dan ujian urin juga negatif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama 12 hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sementara operasi masih dijalankan bagi mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, warga asing berusia 35 tahun dan kekasihnya wanita tempatan berusia 47 tahun, ditahan kerana mengedar ganja seberat 2,072 gram (2.01 kilogram) dianggarkan bernilai RM6,423  yang ditemukan dalam sebuah Honda City di Desa Jaya di sini, kelmarin. 

Kata beliau, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar daerah ini.

“Suspek lelaki adalah penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan masuk ke Malaysia sejak 2016, manakala suspek wanita, seorang eksekutif insurans. Kedua-dua suspek tiada rekod kesalahan dan ujian urin negatif dadah,” katanya.

Noor Ariffin berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 3 Jun ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952. 

“Keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua kes boleh dibekalkan kepada 226,475 penagih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN