PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berpendirian bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh persatuan termasuk yang mewakili doktor atau pengamal perubatan am swasta (GP), untuk memperkenalkan caj tambahan boleh dianggap melanggar Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia termasuk caj tambahan seperti caj preskripsi, yuran pendaftaran, caj pematuhan peraturan dan yuran kemudahan sama ada telah dilaksanakan atau sedang dipertimbangkan.
Jelasnya, di bawah seksyen 4(2)(a) Akta 712, doktor atau pengamal perubatan am swasta diklasifikasikan sebagai ‘perusahaan’ dan sebarang persetujuan antara perusahaan termasuk keputusan persatuan untuk menetapkan harga atau syarat dagangan boleh dianggap sebagai anti-persaingan.
“Tingkah laku sebegini dikategorikan sebagai pelanggaran yang serius yang lazimnya dirujuk sebagai aktiviti kartel dan adalah salah tanpa mengira sama ada perkara ini telah dilaksanakan atau hanya dipersetujui.
“Apabila mana-mana persatuan atau pertubuhan bersetuju secara kolektif untuk memperkenalkan caj baharu, tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai satu perjanjian untuk menetapkan syarat dagangan.
“Begitu juga, sebarang cadangan harga sama ada mengikat atau tidak, boleh dianggap sebagai penetapan harga di bawah Seksyen 4 Akta 712.
“Oleh itu, Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur (PMPASKL) serta Persatuan Pengamal Perubatan Pulau Pinang (PMPS) adalah diingatkan tentang kebarangkalian melanggar undang-undang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, MyCC menggesa SPMPS untuk menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahlinya yang menggalakkan pelaksanaan caj-caj baharu.
“MyCC juga menyeru persatuan Private Medical Practitioners’ Association of Selangor and Kuala Lumpur (PMPASKL) dan Penang Medical Practitioners Society (PMPS) untuk tidak mengadakan mesyuarat atau mengambil sebarang langkah yang boleh membawa kepada keputusan kolektif untuk menetapkan caj atau memperkenalkan yuran secara seragam kerana tindakan tersebut boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Akta 712.
“Di bawah Akta Persaingan 2010, jika sesuatu perusahaan didapati melanggar akta ini, MyCC boleh mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10 peratus daripada pusing ganti seluruh dunia perusahaan berkaitan sepanjang tempoh pelanggaran.
“MyCC tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tingkah laku anti-persaingan,” katanya. – UTUSAN