PETALING JAYA: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”
Itulah situasi yang perlu ditanggung oleh pengacara dan pelakon, Janna Nick yang dikecam gara-gara tersalah bicara ketika sesi audio siar bersama aktor Fattah Amin.
Niat awalnya hanya sekadar ingin tahu isi hati Fattah yang kini bergelar seorang duda selepas gagal mempertahankan rumah tangganya bersama aktres Fazura pada tahun lalu.
Namun, Janna secara tidak sengaja telah menggunakan perkataan yang tidak sewajarnya ketika mengajukan soalan tersebut sekali gus menyebabkan air muka Fattah berubah.
“Lelaki bila sudah berpisah apa perasaan dia? Rasa gembira, terlepas dari beban atau rasa macam tidak perlu hadap perempuan gila ini ke?
“Contoh, bukan bekas isteri kau. Aku cakap situasi lelaki, awak semua jangan salah.
“Situasi seorang lelaki yang rumah tangganya kecundang dan mereka bergelar duda. Macam mana rasanya?,” soalnya.
Kurang senang dengan soalan tersebut, tindakan pelakon itu telah meraih pelbagai respons berbaur kecaman dan menyifatkan Janna tidak menghormati kaum wanita.
“Janna jaga percakapan itu sikit. Awak orang yang terkenal. Awak tidak tahu apa yang menanti awak di masa akan datang,” tegur seorang netizen.
“Rasanya tidak elok menggelar perempuan yang bercerai perempuan gila. Bukan bekas isteri Fattah Amin yang dimaksudkan tapi kenapa ayat perempuan gila itu kat belakang? Tak semua orang kahwin nak bercerai,” kata seorang lagi netizen.
“Rasanya tak perlulah nak guna perkataan ‘perempuan gila’ itu. Kita tak tahu kalau satu hari situasi itu akan berbalik ke diri sendiri,” pesan seorang warganet.