G2 komited tingkat hasil ekonomi Pahang - Utusan Malaysia

G2 komited tingkat hasil ekonomi Pahang

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: G2 Management & Development Sdn. Bhd. (G2) komited untuk mengadakan apa jua bentuk usahasama dengan kerajaan Pahang dalam pelbagai bidang antaranya pertanian, perladangan dan perlombongan bagi meningkatkan hasil negeri ini.

Pengerusi Eksekutif G2, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, umum mengetahui, kerajaan negeri berdepan ketirisan hasil ekoran pencerobohan tanah kerajaan secara haram untuk tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

Menurutnya, isu itu juga beberapa kali disuarakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ketegasan menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri ini yang sudah berlarutan lebih empat dekad.

“Jadi, G2 kita komited melakukan kerja-kerja membabitkan bidang pertanian, perladangan dan perlombongan di negeri ini secara sah dan mengikut undang-undang kerajaan Pahang.

“Apa yang utama adalah kita mahu memastikan kerajaan Pahang akan terus memungut hasil sekali gus ia dapat disalurkan kepada rakyat di negeri ini terutama dalam kalangan golongan yang memerlukan,” katanya di sini hari ini.

G2 merupakan syarikat milikan penuh bumiputera yang ditubuhkan pada 2 Julai 2006.

Fokus utama syarikat ini membabitkan pelbagai bidang antaranya pertanian, perladangan, perlombongan, sistem solar, kejuruteraan marin dan kerja-kerja infrastruktur termasuk jalan raya.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, G2 mempunyai pasukan berpengalaman dalam bidang seperti dinyatakan dan komited melaksanakannya supaya tiada lagi isu ketirisan hasil kerajaan negeri.

“Kita berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan Pahang dalam meningkatkan hasil negeri dan dalam masa yang sama mengekang kegiatan pencerobohan tanah secara haram,” katanya.

Menurutnya, G2 selaras kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib yang mahu merancak ekonomi Pahang dengan menarik pelaburan baharu ke negeri ini.

“Matlamat G2 untuk sama-sama membantu kerajaan negeri meningkatkan pendapatan rakyat dan menjadikan Pahang negeri berpendapatan tinggi supaya rakyat dapat menikmati tahap kehidupan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN