FMM mahu tumpuan menyeluruhan dalam langkah strategik tarif AS - Utusan Malaysia

FMM mahu tumpuan menyeluruhan dalam langkah strategik tarif AS

SOH THIAN LAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) gesa kerajaan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan menyeluruh pelbagai langkah strategik, khususnya bagi menangani kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport Malaysia yang diumumkan dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan industri perlu diteruskan bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan secara berkesan dan mencerminkan realiti di lapangan.

Katanya, FMM menyokong penuh komitmen kerajaan untuk memperluaskan akses pasaran dan meningkatkan kepelbagaian eksport.

“Dalam hal ini, penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (MEUFTA) adalah langkah positif yang diharap dapat diteruskan dengan lancar tanpa halangan.

“Pengumuman penambahan dana sebanyak RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan usaha mempelbagaikan pasaran eksport adalah tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, FMM secara konsisten menyeru strategi akses pasaran yang bersasar serta sokongan kukuh terhadap misi perdagangan dan inisiatif promosi eksport di luar rakan dagang tradisional Malaysia.

Menurutnya, usaha ini amat kritikal dalam keadaan semasa kerana ramai pengeksport sedang mencari pasaran alternatif akibat ketidaktentuan berkaitan tarif AS.

“Tinjauan terbaharu FMM mendapati lebih separuh responden sedang aktif mempelbagaikan pasaran sebagai strategi utama.

“Bagi memaksimumkan kesan pembiayaan ini, ia perlu disertakan dengan instrumen yang lebih efektif dan responsif, terutamanya penambahbaikan terhadap Geran Pembangunan Pasaran (MDG),” ujarnya.

Tambahnya, bagi memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan lebih baik, kerangka MDG juga perlu memperkasakan persatuan perdagangan seperti FMM untuk menganjurkan misi eksport yang disasarkan dan aktiviti yang menepati keperluan industri.

“Ini termasuk peningkatan had pembiayaan untuk misi anjuran persatuan, pengecualian yuran kerjasama RM25,000 bersama MATRADE dan peluasan aktiviti yang layak termasuk penyesuaian produk, pensijilan, pemasaran digital dan kajian pasaran,” ujarnya.

Thian Lai berkata, FMM turut menyambut baik cadangan penubuhan Majlis Rantaian Bekalan Negara (NSCC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), namun menekankan pentingnya penglibatan langsung sektor swasta dalam merangka strategi dan pelaksanaan.

“NSCC boleh berfungsi sebagai platform strategik untuk menyelaraskan dasar, peraturan dan tindakan operasi terhadap gangguan rantaian bekalan dan meningkatkan kesiapsiagaan negara.

“FMM percaya penglibatan sektor swasta amat penting bagi memastikan strategi majlis tersebut menepati realiti operasi dan FMM bersedia untuk menyumbang secara aktif dalam membentuk ekosistem rantaian bekalan negara yang berdaya tahan dan kompetitif,” jelasnya.

Di peringkat ASEAN pula, FMM mencadangkan agar penubuhan Majlis Penyelaras Rantaian Bekalan ASEAN (ASCCC) dijadikan agenda utama semasa Malaysia memegang Pengerusi ASEAN tahun ini.

Beliau berkata, FMM, selaku Pengerusi Rangkaian Perkilangan ASEAN (AMN) telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan.

“ASCCC akan menyatukan badan-badan sektor ASEAN yang relevan termasuk perdagangan, kastam, pelaburan dan pengangkutan untuk menyelaraskan dasar, menutup jurang dan melaksanakan inisiatif seperti pendigitalan proses rantaian bekalan dan tindak balas bersama semasa krisis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya