PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, melayangkan sindiran tajam terhadap dalang akaun media sosial palsu yang menggunakan platform berkenaan untuk mengutuknya.
Menerusi Instatory, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafiza Wan Ariffin mempersoalkan tindakan dalang-dalang berkenaan yang berterusan memberi respons negatif terhadap perkongsiannya di platform berkenaan.
“Lawak engkau orang ini, gigih buat akaun (media sosial) palsu semata-mata untuk mengata saya. Kata tak minat, tak suka, tapi ikuti (follow) untuk intai.
“Saya muat naik gambar suami dikata menayang, padahal suami saya pun suka. Saya muat naik gambar arwah (Johan Nawawi) dikata tidak menjaga hati suami (Dr. Rushdi Ramli), padahal suami saya pun teringat (pada arwah).
“Kongsi gambar gembira dikata gembira, kongsi gambar sedih disindir padan dengan muka. Kongsi gambar kucing dipandang kasihan. Engkau orang mahu apa sebenarnya?” tulisnya.
Rumah tangga penyanyi lagu Hanyalah Satu itu diperkatakan masyarakat apabila beliau menuntut cerai dari suaminya buat kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Nora menegaskan tuntutan cerai itu bukan mahu mencipta kontroversi sebaliknya beliau mengakui tidak sanggup berdepan konflik perkahwinan.
Nora sekitar Ogos tahun lepas mengesahkan bercerai dengan Dr. Rushdi menerusi rakaman lafaz cerai yang dimuat naik di media sosialnya.
Namun, Nora dan pensyarah Universiti Malaya itu kembali bergelar suami isteri apabila keduanya membuat keputusan untuk rujuk semula.
Nora dalam perkongsian yang sama baru-baru ini menasihatkan kepada pembencinya agar tidak masuk campur urusan rumah tangganya.
“Lebih baik layan, jaga suami dan anak. Itu lebih mendatangkan pahala daripada menjaga rumah tangga saya,” tulisnya lagi. – UTUSAN