SHAH ALAM: “Saya tidak bersetuju untuk bercerai kerana masih sayang dan mahu mempertahankan perkahwinan kami.”
Demikian kata suami kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin, Dr. Rushdi Ramli yang enggan melepaskan penyanyi itu sebagai isteri setelah melalui proses sebutan pertama kes perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini
Menurut Dr. Rushdi, selain masih sayang, dia mengakui ini merupakan salah satu usahanya untuk mempertahankan rumah tangga mereka memandangkan perceraian merupakan perkara yang ditegah dalam Islam.
“Pada hari ini saya menyatakan di hadapan yang arif bahawa saya menolak permohonan perceraian yang dilakukan oleh isteri terhadap saya. Dalam Islam juga haram untuk kita mengamalkan penceraian tanpa alasan yang muhasabah.
“Pendirian saya ialah saya akan pertahankan perkahwinan ini kerana kita faham perkahwinan ini adalah benda yang baik.
“Saya mengharapkan Nora terus cinta dan sayang pada saya tapi kalau dia tiada perasaan itu dan mahu mengambil tindakan lanjut saya tak boleh buat apa,” katanya usai prosiding sebutan pertama ke perceraian di mahkamah.
Tidak menafikan dirinya turut berdepan dengan cabaran rumah tangga, pensyarah di sebuah institusi pengajian awam itu menjelaskan keluarga pertamanya sudah menerima Nora sebagai madu.
“Setiap rumah tangga, baik monogami mahupun poligami ada pasang surutnya. Namun, berdasarkan pemerhatian saya yang ikhlas, keluarga pertama saya sudah pun menerima perkahwinan saya dengan Nora.
“Mereka pun tidak merungut apa-apa. Namun mereka mengharapkan tiada sebarang perubahan yang berlaku terhadap hubungan kami sekeluarga,” tegasnya.
Dalam masa sama, suami kepada penyanyi lagu Hanya Satu itu turut menafikan dakwaan dirinya gagal mengemudikan rumah tangganya sepanjang berpoligami.
“Saya tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut. Orang yang cakap itu dia pandai cakap saja.
“Mungkin ada saja yang berpoligami melalui perkara yang sama tetapi tidak diketahui orang kerana mereka bukan seorang selebriti seperti Nora.
“Orang yang berkahwin seorang pun ada yang bercerai namun perkara itu bukanlah satu keaiban buat suami mungkin kerana tidak mempunyai persefahaman. Saya juga sudah cuba yang terbaik,” katanya.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling telah menetapkan tarikh sebutan kedua kes perceraian Nora dan suami pada 4 Jun ini.
Nora sebelum ini turut hadir ke mahkamah yang sama bagi memfailkan perceraian terhadap Dr. Rushdi selepas gagal menemui jalan damai terhadap kemelut rumah tangganya.
Terdahulu, Nora mengesahkan dirinya sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi pada akhir tahun 2021.
Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 namun, komposer itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata. – UTUSAN