Enam termasuk remaja bawah umur didakwa menipu dalam talian

Enam termasuk remaja bawah umur didakwa menipu dalam talian

EMPAT daripada enam individu (kanan) yang didakwa atas pertuduhan bersubahat melakukan jenayah penipuan dalam talian dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Enam individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan bersubahat melakukan jenayah penipuan dalam talian, Selasa lalu.

Tertuduh, Cham Chew Lian, 22; Leong Wei Yao, 28; Ang Meng Foo, 25; Reasmeykakada, 22; Deng Fei, 38 serta remaja perempuan yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah melakukan satu pakatan jenayah berhubung penipuan dalam talian di sebuah kondominium di Alma, di sini kira-kira pukul 5 petang pada 13 Mei.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala kesemua tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi dan Husna Ridzuan.

Sementara itu, ketika sesi prosiding, Anis Suhada memohon agar hukuman setimpal dikenakan kepada kesemua tertuduh atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh pula meminta supaya denda minimum dikenakan memandangkan kesalahan itu pertama kali dilakukan dan kebanyakan mereka juga tidak bekerja serta tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 tiap seorang kepada lima daripada enam tertuduh selain turut mengarahkan agar mereka menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh iaitu remaja perempuan berusia 17 tahun itu bagaimanapun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), namun, akan dituduh semula mengikut undang-undang kanak-kanak selepas ini.

Terdahulu, sindiket penipuan dalam talian melalui aplikasi Telegram yang kononnya menawarkan hadiah lumayan itu berjaya digempur oleh pihak polis susulan satu serbuan yang dilakukan di sebuah kondominium di Alma.

Dalam serbuan terbabit, enam individu termasuk dua warga asing dari China dan Kemboja berjaya diberkas oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN