KUALA LUMPUR: Pelakon, Azhan Rani mendedahkan dia pernah menjalani penggambaran enam drama bersiri secara serentak di Makkah dan Madinah termasuklah telefilem, Bilal dan Abah.
Mengakui itu bukanlah satu pengalaman yang mudah, Azhan bagaimanapun bersyukur dirinya dapat menyelesaikan kesemua sesi penggambaran dengan lancar.
“Sewaktu menerima naskhah Bilal dan Abah, saya perlu menjalani penggambaran enam drama bersiri di Makkah dan Madinah. Kami menjalani penggambaran di sana dua tahun lepas sekitar September 2023.
“Sewaktu pergi ke sana, skrip belum siap sepenuhnya lagi. Tetapi selepas dua tahun, drama Bilal dan Abah ini kami lengkapkan sesi penggambarannya di Malaysia,” kongsinya.
Ditanya mengenai cabaran berlakon di Tanah Suci, Azhan menyifatkan itu merupakan pengalaman yang bermakna buat dirinya sepanjang bergelar anak seni.
“Pada awal pembikinannya kami agak tergesa-gesa kerana saya hanya mempunyai 18 hari di sana dan terkumpul dengan enam drama lain.
“Tetapi itu adalah pengalaman yang menarik untuk saya apatah lagi kita perlu sesuaikan diri dengan kesibukkan Makkah dan Madinah yang tidak pernah sunyi itu.
“Pengalaman itu amat membantu saya untuk berdepan dengan cabaran seperti ini. Itu juga beri latihan yang baik untuk saya bekerja dalam situasi sebegini. Seperti kita tahu, di Makkah dan Madinah tidak mudah untuk kita jalani penggambaran,” ujarnya.
Berkisarkan tentang seorang lelaki orang kelainan upaya dalam menzahirkan kecintaan kepada Islam, Azhan yang melakonkan watak sebagai Bilal mahu ke Makkah untuk melaungkan azan demi menyanjungi peribadi sahabat Rasulullah, Saidina Bilal Rabah.
Selain Azhan, telefilem arahan Pali Yahya yang turut dibintangi aktres versatile Ummi Nazeera dan Harun Hashim akan ditayangkan pada 8 Jun di TV AlHijrah.
Bertemakan Menyahut Panggilan-Mu, TV AlHijrah juga bakal menyajikan beberapa program menarik sempena musim haji pada tahun ini iaitu Alumni Haji, Labbaikallah 2025, 30 Minit Bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, Kisah Mutawif, Munajat Arafah, dokumentari Umrah Yatim Palestin.