Empat sekawan didakwa tetak ahli perniagaan

Empat sekawan didakwa tetak ahli perniagaan

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan menetak seorang lelaki sehingga parah, kira-kira dua minggu yang lalu. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Empat lelaki termasuk seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menetak seorang lelaki sehingga parah di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Uda di sini, dua minggu lalu.

K. Ravindran, 28; D. Sathea, 32; Muhammad Ilyas Kalaiarasan Abdullah, 33, dan B. Thanabala Singam, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, Ravindran dan Sathea telah dengan niat bersama menyebabkan cedera parah ke atas Ooi Jing Wey, 36, dengan menggunakan parang dalam kejadian pada pukul 8.35 malam di hadapan Jalan Perak Duck, Jalan Raja Uda di sini, pada 16 Mei lalu.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berasingan terhadap Muhammad Ilyas dan Thanabala Singam pula, mereka didakwa bersubahat melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin berkata, pihaknya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Y. Yogeswaran yang mewakili keempat-empat tertuduh kemudian memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga manakala Muhammad Ilyas akan melangsungkan perkahwinan pada minggu depan.

“Muhammad Ilyas akan berkahwin pada minggu depan selain perlu menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal dan Thanabala Singam juga perlu menyara isteri dan empat anaknya,” katanya.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan seorang ahli perniagaan patah tangan kiri, selain mengalami kecederaan lain akibat ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Raja Uda di sini.

Insiden berkenaan turut tular di media sosial dengan memaparkan suspek bertopeng melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih selepas menyerang seorang lelaki menggunakan parang.

Mangsa dalam keadaan berlumuran darah pada tangan kiri kemudian meminta bantuan orang awam dan diberikan rawatan awal di sebuah klinik sebelum dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN