TELUK INTAN: Empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam yang cedera dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini minggu lalu, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, anggota yang dirawat di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.
Katanya, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang dipindahkan dari Hospital Teluk Intan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari kejadian 13 Mei lalu, kini ditempatkan di ICU hospital sama.
“Keadaan empat anggota yang berada di ICU kini stabil dan menunjukkan perkembangan positif. Mereka sudah pun sedar dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Sarjan Mohd Parih Ali, 44, yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Teluk Intan telah pun dibenarkan keluar hospital pada pukul 6.30 petang semalam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, pemulihan akibat kemalangan itu dijangka mengambil masa berikutan tahap kecederaan serius yang dialami anggota FRU terlibat.
Katanya, kesan himpitan yang dialami semasa kemalangan menjadi antara faktor kepada kerosakan organ dalaman mangsa.
“Memang mengambil masa untuk pulih sebab kebanyakan mereka cedera teruk,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, IPD Hilir Perak terus komited menjaga kebajikan waris anggota yang dirawat di hospital bagi memastikan segala keperluan mereka sentiasa terpelihara.
“Setiap masa lawatan dibuat oleh IPD ini kepada keluarga yang tinggal di hospital bagi mengenal pasti apakah masalah yang boleh kita bantu dan memberi kebajikan.
“Lawatan ini bukan hanya melibatkan warga IPD Hilir Perak tapi kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang datang untuk memberi sokongan moral agar mereka kembali pulih dan bersemangat untuk meneruskan hidup,” katanya.
Sementara itu, seramai 75 individu termasuk 35 petugas media di Perak menerima Sijil Penghargaan Khas yang diberikan atas sumbangan masing-masing membantu tugas kepolisan. – UTUSAN