Ella, Kyoji Yamamoto gegar Arena of Stars Genting Highland - Utusan Malaysia

Ella, Kyoji Yamamoto gegar Arena of Stars Genting Highland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Selepas satu dekad, Ratu Rock, Ella, kembali berkongsi pentas dengan pemain gitar bertaraf legenda Jepun, Kyoji Yamamoto dalam Ella USA 30th Anniversary Concert di Arena of Stars, semalam.

Pemilik nama penuh Nor Zila Aminuddin, 59, mengembalikan nostalgia bersama pemuzik tersebut yang juga penerbit album kelimanya, Ella USA yang dirakamkan di California, Amerika Syarikat lebih tiga dekad lalu.

Ella memaklumkan Yamamoto merupakan antara individu yang membawa pengaruh besar dalam pembabitan seninya.

“Selepas lebih tiga dekad bekerjasama, Yamamoto dan saya sekarang masih berkawan baik dan kami tetap saling berhubung.

“Saya berbesar hati kerana beliau sanggup terbang jauh dari Hawaii, singgah di Tokyo Jepun sebelum tiba Malaysia untuk menjayakan konsert ini,” katanya.

Ratu Rock bertaraf legenda itu malam tadi memukau hampir 5,000 penonton menerusi persembahan bertenaga dalam menyampaikan 20 lagu yang terkandung  album Ella USA.

Ella menerusi konsert tersebut turut berkongsi pengalaman sebagai penyanyi pertama negara yang merakamkan album penuh di AS.

“Antara yang masih segar dalam ingatan adalah berjalan kaki ke studio rakaman dalam cuaca sejuk selain merasai pengalaman berdepan gempa bumi.

“Namun proses rakaman dapat disempurnakan sepenuhnya meskipun dalam keadaan tidak menentu,” ujarnya.

Ella malam tadi menggegarkan Arena of Stars menerusi persembahan lagu-lagu hits seperti Gemilang, Rindu, Nuri, Ala Amerika, Penawar, Menanti, Mungkin, Itulah Saya, Permata Pemotong Permata, Risau, Esok Lusa Selamanya, dan Aku Kau Dia.

Penyanyi kelahiran Klang, Selangor itu turut melunaskan permintaan peminat dengan menyampaikan lagu Permata Biru, Standing in the Eyes of the World, Pengemis Cinta, Kitalah Bintang, Sembilu serta Sepi Sekuntum Mawar Merah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN