GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan menggunakan teknologi jejak dan kesan (track and trace) iaitu sebuah platform pintar hasil kerjasama strategik dengan MIMOS Sdn. Bhd. bagi membolehkan pemantauan menyeluruh dibuat terhadap durian keluaran negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, ia bertujuan membanteras penipuan dan eksploitasi terhadap durian tempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami banyak menerima aduan daripada pengusaha durian yang menjadi mangsa penipuan berkaitan produk mereka. Sebagai contoh, banyak durian dari negeri lain, tapi mereka sebut bahawa durian itu dari Balik Pulau yang akhirnya menyebabkan pengusaha-pengusaha setempat terpinggir.
“Ada juga durian dari Thailand yang dijual di tepi jalan dan bila ada penduduk luar negeri atau luar negara datang, mereka cakap ia adalah durian Pulau Pinang sedangkan itu durian dari Thailand.
“Jadi, teknologi track and trace ini diharap dapat memberi solusi menyeluruh kepada pengusaha durian tempatan, selain memastikan pematuhan terhadap peraturan dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fahmi berkata, teknologi itu dijangka mula digunakan pada 1 Jun ini dan Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang menggunakannya untuk memantau pengeluaran durian tempatan.
“Melalui pelaksanaan teknologi ini, ia diharap dapat meningkatkan kecekapan operasi, memastikan pematuhan terhadap peraturan dan membina kepercayaan terhadap produk durian tempatan.
“Langkah ini juga selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh industri durian dan melindungi kepentingan pengusaha tempatan,” katanya.
Tambah Fahmi, jumlah eksport durian Pulau Pinang pada tahun lalu adalah sebanyak 67,203 kilogram (kg) iaitu penurunan sebanyak 467kg berbanding hasil pada 2023.
“Negara utama yang mengimport durian dari Pulau Pinang ialah China dan Singapura, manakala durian dari jenis Musang King D197 dan Ochee (Black Thorn D200) adalah varieti popular yang dieksport.
“Selain itu, terdapat juga dua varieti baharu durian Pulau Pinang yang telah didaftarkan pada 2023 iaitu Kim Long D230 serta Cenderawasih D229,” katanya. – UTUSAN