Dua wartawan Utusan Malaysia terima sijil penghargaan Ketua Polis Negara

Dua wartawan Utusan Malaysia terima sijil penghargaan Ketua Polis Negara

WARTAWAN jenayah Utusan Malaysia, Nuraina Hanis (kiri) dan Maszureen Hadzman (kanan) bergambar bersama sijil penghargaan pada Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara bersama Media Tahun 2025 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua wartawan jenayah Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman dan Nuraina Hanis Abd. Halim menerima sijil penghargaan Ketua Polis Negara (KPN) bagi menghargai sumbangan dalam melaporkan kejayaan-kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Tan Sri Razarudin Husain ketika berucap pada Majlis Apresiasi KPN Bersama Media di Bukit Aman di sini hari ini berkata, pengamal media berperanan sebagai ‘pemerhati’ yang mampu mengawasi tingkah laku penyampaian perkhidmatan warga polis termasuk mencadangkan penambahbaikan tadbir urus pasukan agar sentiasa berintegriti dalam semua aspek.

Katanya, platform media mempunyai ‘kuasa unik’ yang berkemampuan melangkaui batas fizikal, mempengaruhi pemikiran dan memenangi hati masyarakat untuk menzahirkan sokongan memperkukuh keselamatan dan keamanan negara.

“Media massa merupakan antara sandaran dan harapan PDRM bukan sekadar bertindak sebagai penyampai berita dan informasi sebaliknya menjadi sumber untuk menzahirkan kebenaran dan keadilan kepada umum.

“Kepercayaan dan harapan tinggi disandarkan kepada pihak media selaku rakan strategik PDRM untuk meningkatkan penyaluran dan penyampaian informasi yang tepat dan dipercayai berbanding spekulasi dalaman atau atas kepentingan individu,” katanya.

Menurutnya, hubungan kerjasama yang utuh antara PDRM dengan rakan-rakan media adalah berteraskan tanggungjawab kepada masyarakat.

Jelasnya, ini dengan menyalur dan menyampaikan informasi tepat serta berita yang telus demi menegakkan keadilan dalam apa jua keadaan. 

“Visi PDRM sebagai peneraju keselamatan bagi mengekalkan Malaysia selamat dan aman meletakkan media sebagai antara entiti penting bagi menyampaikan peranan pasukan.

“Ini dapat membantu dalam memartabatkan keluhuran perlembagaan serta mendaulat dan menguatkuasakan undang- undang kepada segenap lapisan masyarakat.

“Keistimewaan ini wajar ditransformasikan sebagai wadah pemantapan jati diri masyarakat bagi mengekang pengaruh anasir negatif yang boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. 

Menurut Razarudin, beliau mewakili kepemimpinan tertinggi dan seluruh warga PDRM amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan dan kerjasama pihak media menerusi keberkesanan peranan yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi.

“Sekali lagi saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sokongan dan kerjasama utuh yang diberikan oleh rakan media dalam menyalurkan informasi yang tepat dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN