Dua wanita miliki ijazah bangga kerja di zoo

Dua wanita miliki ijazah bangga kerja di zoo

AINUN Hidayah Wahab (kiri) dan Safiah Mahamat melakukan rutin harian pemeriksaan kesihatan haiwan di sebuah zoo di Kampung Dusun, Kuala Berang, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Meskipun pernah digigit, dicakar dan ditendang haiwan, ia tidak mematahkan semangat dua wanita yang memiliki ijazah sarjana muda untuk terus mencari rezeki di sebuah zoo di Kampung Dusun di sini.

Ainun Hidayah Wahab, 25, dan Safiah Mahamat, 26, mengakui, di sebalik semua cabaran itu, kerenah haiwan mampu memberikan kegembiraan serta ketenangan tersendiri buat mereka sebagai pecinta hidupan liar.

Ainun Hidayah yang bertugas sebagai renjer zoo sejak Oktober tahun lalu berkata, walaupun kerjaya itu bukanlah profesion impiannya, namun perasaan sayang kian mendalam apabila dapat berdampingan dengan haiwan setiap hari.

“Menjaga haiwan satu tugas yang mempunyai cabaran tersendiri daripada segi fizikal dan mental. Tingkah lakunya kadang-kala tidak dapat diramal walaupun pada awalnya kelihatan baik dan tenang, tiba-tiba boleh berubah.

“Saya pernah digigit musang sewaktu sedang memberinya makan sehingga tangan kiri berparut. Semua itu saya anggap sebagai asam garam kerja, selain beri makanan, skop tugas saya juga termasuk bersihkan najis haiwan di kandang.

“Walaupun bagi segelintir individu, kerja di zoo mungkin tidak begitu dipandang tetapi saya tetap bangga kerana ba­nyak perkara boleh dipelajari, apatah lagi di sini punya pelbagai spesies haiwan eksotik dari serata dunia,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Sumber Asli) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu ketika ditemui.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berharap pekerjaannya sedikit sebanyak dapat membantu serta mengajak masyarakat untuk menyebarkan perasaan kasih terhadap haiwan.

Sementara itu, Safiah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Marin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan bertugas sebagai pembantu penyelia zoo berkata, ditendang anak kuda berusia lapan bulan antara pengalaman berharga dilaluinya sepanjang hampir setahun mencari rezeki di situ.

“Sebelum ini saya pernah berkerja sebagai eksekutif bank tetapi seolah-olah tiada kepuasan dalam diri kerana jiwa sukakan alam semula jadi serta haiwan sehingga saya memohon kerja di zoo ini.

“Lagipun dekat dengan rumah di Felcra Bukit Kapah, hanya lebih kurang 15 minit perjalanan. Saya pula anak bongsu daripada empat beradik, semua yang lain bekerja di luar Terengganu.

“Meskipun kerja tidak begitu glamor namun banyak benda dapat ditimba. Saya bukan sahaja lebih peka pada haiwan, perasan tingkah laku tetapi tahu cara rawatan awal luka, selain selok-belok bidang pengurusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya