SABAK BERNAM: Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Tali Air 5, Sekinchan di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu melibatkan dua buah motosikal masing-masing ditunggang seorang lelaki tempatan dan warga asing.
Kedua-dua mangsa berusia 42 tahun dan 20-an itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pembonceng wanita asing berusia 35 tahun turut parah.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika seorang daripada mangsa menunggang dari arah pekan Sekinchan.
“Setibanya di lokasi, motosikal itu dipercayai bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain.
“Dua mangsa lelaki berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam bagi proses bedah siasat.
“Wanita yang cedera parah dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi rawatan lanjut. Kes masih disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN