Dua maut nahas tiga motosikal di Melaka

Dua maut nahas tiga motosikal di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Dua lelaki maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 220.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, Farith Aiman Mohd. Fairus, 21, yang bekerja di sebuah kilang di Senawang, Negeri Sembilan dan kakitangan Petronas Sungai Udang, Mohammad Shahril Anuar, 45, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian Farith Aiman dan Mohammad Shahril masing-masing menunggang motosikal jenis Honda RS150R dan Yamaha MT-25 sedang dalam perjalanan ke Melaka.

“Setiba di lokasi Honda RS150R dipercayai terlanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori lalu melanggar motosikal ditunggang Mohammad Shahril di  lorong kecemasan. 

“Yamaha MT-25 itu kemudiannya melanggar sebuah lagi motosikal  jenis Yamaha Y15ZR ditunggang remaja lelaki berusia 18 tahun yang datang dari arah sama.

“Impak pelanggaran menyebabkan Farith Aiman dan Mohammad Shahril maut di lokasi akibat kecederaan parah manakala penunggang Yamaha Y15ZR mengalami melecet pada bahagian kiri tangan dan kaki,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Ashari, remaja berkenaan menerima rawatan di Hospital Alor Gajah manakala mangsa yang maut dihantar ke bahagian forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan awal di lokasi nahas mendapati kejadian berlaku di jalan lurus tiga lorong dan basah kerana hujan.

“Kesemua kenderaan terlibat telah ditahan untuk hantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN