Dua maut jentera berat jatuh gaung di Kuala Krai

Dua maut jentera berat jatuh gaung di Kuala Krai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI : Dua lelaki termasuk seorang warga Thailand maut dalam kejadian berasingan membabitkan jentera berat yang terjatuh ke dalam cerun dan gaung di daerah ini, hari ini.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 2.50 petang, seorang lelaki warga Thailand berusia 49 tahun maut selepas jentolak dipandunya terjatuh ke dalam cerun di kawasan Ladang Dabong, Kilometer 27 Jalan Sungai Sam – Dabong.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang mengendalikan jentera tersebut untuk berehat sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam cerun berhampiran.

“Mangsa tercampak keluar dari jentera sebelum dihempap oleh mesin berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian kedua berlaku kira-kira pukul 3.30 petang, seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun maut selepas jentera Bulldozer yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di kawasan Ladang Bonanza, Laloh.

Mazlan berkata, mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja membuat teres di kawasan ladang terbabit sebelum jentera tersebut tergelincir dari laluan dan jatuh ke dalam gaung.

“Pemandu tersepit dalam jentera dan disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat. Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN